X

Kindly register in order to view this article
!

Teka-teki: Siapa bohong siapa?

A
A

*HARI ini pengundi DUN Semenyih membuat penentuan. Mereka akan memilih mana yang terbaik antara empat calon – PH, BN, PSM atau Bebas?

Sebagai pengundi bijak dan telah berpengalaman dalam banyak pilihan raya sebelum ini, pangkahlah dengan bijak. Dengan hati terbuka...

*PERIHAL tuduhan RM90 juta dedak UMNO dibangkitkan juga dalam kempen PRK Semenyih. Alkisah, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu pendedahan.

Katanya Pas membayar RM1.4 juta kepada portal berita Sarawak Report sebagai penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah antara editornya dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. “Saya ada bukti pembayaran itu dibuat,” kata Anwar dalam kempennya. Dan dia menambah: “Kalau saya bohong, Pas boleh saman saya...”

*PENTAASUB Pas, termasuk beberapa orang pemimpin parti Islam itu segera menyanggah Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Port Dickson itu. Mereka kata Anwar tidak bercakap benar.

Malah, Ketua Dewan Ulama Pas Pahang Mokhtar Senik memberi amaran untuk menganjurkan sembahyang hajat berikutan ‘pembohongan’ Anwar itu.

Tujuan solat hajat? Untuk mendoakan agar Anwar “tak sampai ke kerusi yang diimpikan” - merujuk jawatan Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Setakat semalam tidak pasti sama ada solat hajat itu akan diteruskan, sebab ternyata apa yang disebut Anwar dalam kempen itu bukanlah bohong...

*ADA pun orang yang kata Anwar tidak berbohong tak lain tak bukan adalah Editor Sarawak Report sendiri. Hanya beberapa jam selepas pendedahan Anwar itu, Clare Rewcastle-Brown mengesahkan dia memang menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi Awang di luar mahkamah.

"Sarawak Report bersetuju dengan syarat Abdul Hadi iaitu kedua-dua pihak merahsiakan bayaran yang terlibat,” katanya seperti yang dilaporkan media.

Maka dalam isu bayaran untuk selesai kes di luar mahkamah ini, siapa bohong siapa? Kalau ada mana-mana pihak yang berbohong, adakah itu termasuk dalam bohong yang patuh syariah?

*SAMA ada bayaran RM1.4 juta itu bohong atau tidak, kes wanita Inggeris dengan Tuan Guru Haji Hadi itu memang telah diselesaikan di luar mahkamah.

Perihal kononnya RM90 juta duit curi dari 1MDB diterima Pas ternyata tidak betul, seperti yang disahkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia @ SPRM.

Penyiasatan badan anti-suap itu mendapati tidak ada sebarang bukti atau dokumen menunjukkan ada duit haram masuk dalam akaun parti Islam itu.

Maka sepanjang yang berhubung dengan tuduhan Pas menerima dedak, ternyata auta. Akaun bank parti itu bersih, tidak ada setengah sen pun duit 1MDB...

*TETAPI, dalam pada itu beberapa orang pemimpin dan bekas pemimpin Pas telah menziarahi pejabat SPRM, baik di Kelantan mahupun di Kuala Lumpur.

Dengar ceritanya beberapa orang lagi pemimpin tertinggi parti itu ada dalam senarai untuk diundang ke pejabat SPRM, untuk diambil keterangan berhubung tuduhan RM90 juta.

Malah setakat semalam SPRM telah merampas beberapa harta, termasuk kereta mewah yang dikatakan milik pemimpin Pas. Akaun bank beberapa individu parti berkenaan juga dikatakan telah dibekukan.

Maka walaupun Clare-Hadi bersetuju selesai luar mahkamah, isu RM90 juta itu nampaknya belum tamat. Mungkin akan jadi lebih panjang.

*AKHIR kalam, tak habis-habis PRK! Selepas mengundi di Semenyih hari ini, tidak lama lagi akan ada satu lagi PRK di Rantau, Negeri Sembilan.

Bulan lalu kita ada PRK di Cameron Highlands. Sebelum itu ada PRK di Port Dickson, dan tiga PRK di Selangor, iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, dan Balakong.

Pendek kata tidak habis-habis berkempen. Tidak putus-putus cerita-cerita hangat, dan tidak henti-henti orang berpolitik, siang malam.

Iklim yang hangat – suhu dijangka naik hingga 38 darjah Celsius – berserta dengan bahang politik akibat PRK, menjadikan semua orang tidak senang tidur, gelisah!

TOK PERAK


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!