UPK ditubuh bangunkan Kompleks Sukan Shah Alam

Mohd Khairuddin Othman
Mohd Khairuddin Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Unit Projek Khas (UPK) ditubuh di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi pelaksanaan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, penubuhan unit khas itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 9 Jun lalu.

Menurutnya, unit khas itu bertindak sebagai pengurus projek yang bertanggungjawab memastikan pembangunan KSSA dilaksanakan secara teratur dan komprehensif untuk menyumbang nilai dan pulangan tinggi kepada kerajaan demi manfaat rakyat Selangor.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan pembentukan Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Jawatankuasa ini akan bertindak memantau perlaksanaan pembangunan semula KSSA yang disokong satu jawatankuasa kerja iaitu Jawatankuasa Pembangunan Sukan; Jawatankuasa Perancangan dan Teknikal; Jawatankuasa Kewangan; dan Jawatankuasa Perundangan," katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Rizam Ismail (BN - Sungai Air Tawar) mengenai status terkini pembaikan Stadium Shah Alam ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, jawatankuasa kerja itu ditubuhkan bagi memastikan segala kepentingan kerajaan dan rakyat Selangor diperincikan di dalam pelaksanaan pembangunan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berkata, UPK turut menerima beberapa ‘Request for Proposal (RFP)’ daripada syarikat-syarikat swasta

"Setakat masa ini, lapan RFP telah diterima dan diperhalusi pihak UPK," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kerajaan negeri juga komited memastikan pembangunan KSSA bersesuaian dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari iaitu selari dengan konsep 'Youth and Sports City'.