Saringan Covid-19 di perkampungan orang asli secara bersasar

Foto Bernama (Gambar kecil: Loy Sian)
Foto Bernama (Gambar kecil: Loy Sian)
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor melaksanakan proses saringan Covid-19 secara bersasar melibatkan 393 individu masyarakat orang asli di seluruh negeri itu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, pelaksanaan proses saringan itu dibuat dengan kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bergantung kepada kadar jumlah kes yang direkodkan di sesebuah kawasan terlibat.

Beliau berkata, pelaksanaan proses saringan berkenaan juga adalah berdasarkan keperluan mengikut daerah dan jumlah perkampungan orang asli yang terdapat di seluruh negeri ini.

“Sebagai contoh, berdasarkan rekod bagi tempoh bermula Januari sehingga 31 Julai lalu, telah dijalankan saringan di perkampungan orang asli sekitar Gombak dan Petaling membabitkan 90 individu dan hanya seorang didapati negatif wabak Covid-19.

“Daerah Sepang pula merekodkan saringan Covid-19 tertinggi membabitkan masyarakat orang asli dengan 260 individu disaring sebelum ini.

“Secara keseluruhan, sebanyak 135 kes positif telah dikenal pasti menerusi saringan ini melibatkan masyarakat orang asli seluruh Selangor bagi tempoh sama,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pada Selasa.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dikemukakan oleh Elizebeth Wong Keat Ping (PKR-Bukit Lanjan) mengenai jumlah saringan yang dilaksakan kerajaan negeri di perkampungan orang asli di Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Loy Sian berkata, kerajaan Selangor turut membantu seramai 6,503 keluarga orang asli di seluruh negeri tersebut menerusi inisiatif bakul makanan bagi tahun ini dengan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM650,300.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha sedaya-upaya bagi mendepani cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini demi memastikan kebajikan seluruh rakyat terbela,” katanya.

Tambah beliau, menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin pada tahun lalu, kerajaan Selangor melaksanakan insiatif pemberian bakul makanan berkenaan kepada 5,941 keluarga masyarakat orang asli meliputi pemberian barangan keperluan asas dengan kos bernilai RM50 setiap satu.

“Inisiatif ini diteruskan lagi di bawah Pakej Kita Selangor dengan sedikit penambah baikan di mana setiap keluarga orang asli akan menerima bakul makanan bernilai RM100 setiap satu keluarga,” katanya.