X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Sektor korporat perlu manfaatkan teknologi, amalan pengurusan terbaik

Hasnol Zam Zam
A
A

SHAH ALAM - Pengamal sektor korporat perlu memanfaatkan teknologi dan amalan pengurusan terbaik agar landskap perniagaan Malaysia terus mapan serta berdaya saing.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, ia bertepatan dengan situasi dan cabaran semasa yang terpaksa diharungi sektor itu susulan pandemik Covid-19 ketika ini.

"Dengan perubahan norma hidup berikutan pandemik Covid-19, kita melihat pelbagai aspek kehidupan seharian termasuk tadbir urus di sesebuah syarikat telah beralih kepada penggunaan teknologi digital dan automasi.

"Pandemik yang melanda ini sekali gus mempercepatkan peralihan itu berlaku di seluruh dunia termasuk di negara kita," katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2021 (SSMNC2021) kali ke-10 yang berlangsung secara maya pada Selasa.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz.

Nor Azimah
Nor Azimah

Persidangan tahunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berlangsung sehari itu disertai lebih 2,000 peserta dengan tema 'Tadbir Urus Korporat Dalam Norma Baharu'.

Peserta berpeluang mengikuti empat sesi pleno bersama ahli-ahli panel dalam kalangan pengamal sektor korporat dengan kepakaran dan pengalaman pelbagai bidang termasuk barisan panel daripada SSM sendiri.

Mengulas mengenai pemilihan tema persidangan tahun ini, Hasnol Zam Zam berkata, ia bertepatan dengan situasi dan cabaran semasa dihadapi susulan pandemik Covid-19 ketika ini.

"Persidangan ini merupakan salah satu agenda tahunan SSM untuk berinteraksi secara langsung dengan pengamal sektor korporat dan perniagaan.

"Ia terdiri daripada ahli lembaga pengarah syarikat, setiausaha syarikat, pengamal undang-undang, ahli ekonomi dan kewangan, usahawan, ahli akademik dan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan," jelasnya.

Tambah beliau, persidangan itu turut disertai delegasi luar negara iaitu Pakistan, Republik Macedonia, Kazakhstan, Filipina dan Singapura.

Dalam perkembangan lain, Hasnol Zam Zam turut memaklumkan sebanyak 11 inisiatif telah diperkenalkan KPDNHEP melalui SSM pada tahun ini.

Beliau berkata, ia bagi membantu komuniti perniagaan mengharungi pandemik Covid-19 selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, inisiatif itu dapat memberikan ruang kepada entiti perniagaan, syarikat dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) untuk mengekalkan pematuhan kepada tadbir urus yang baik meskipun berhadapan detik sukar.

Selain itu, katanya, ia dapat memberi ruang kepada pemain industri untuk mengatur semula strategi perniagaan bagi menyokong kelangsungan dan terus berdaya saing.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!