Industri perhotelan dijangka rugi RM9 bilion lagi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menjangkakan industri perhotelan negara akan mengalami kerugian sebanyak RM9 bilion lagi pada tahun 2021 selepas kehilangan lebih RM6.5 bilion pendapatan pada tahun lepas.

Presidennya, Datuk N Subramaniam berkata, kira-kira 120 hotel dalam negara ini sudah ditutup sama ada untuk sementara atau kekal.

Beliau berkata, industri pelancongan merupakan antara yang terjejas berikutan penularan pandemik Covid-19 sehingga melumpuhkan pengusaha hotel.

“Melihat kesulitan dialami pekerja, MAH sejak awal telah melobi sokongan dan bantuan daripada kerajaan termasuk pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pelancongan domestik.

“Tapi memandangkan sekatan kawalan pergerakan yang dikenakan, industri perhotelan masih tidak dapat menjana pendapatan mencukupi sehingga memberi kesan kepada kehidupan tenaga kerja secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Subramaniam sehubungan itu berkata, MAH melalui program MAH Cares telah memperuntukkan bantuan makanan dan barangan keperluan bernilai RM200,000 kepada ribuan pekerja industri hotel dan keluarga yang terjejas.

Dalam masa sama, katanya, MAH turut menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan terdiri daripada pakar industri untuk merumuskan strategi pemulihan sektor pelancongan akan datang.

“Selain usaha sama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), jawatankuasa ini juga mengusahakan projek pemasaran dan promosi untuk pasaran domestik serta antarabangsa,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Program MAH Cares itu ditaja syarikat jenama makanan dan minuman, Yeo Hiap Seng (Malaysia) Bhd (Yeo’s) dengan kerjasama Yayasan Amal Ng Teng Fong degan menyalurkan bekalan makanan dan minuman bernilai lebih RM100,000.