Tiada pajakan melombong Lanthanide dikeluarkan di Jelai

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang tidak mengeluarkan pajakan melombong (ML) bagi perlombongan nadir bumi Lanthanide di Jelai, Lipis yang dikatakan meliputi kawasan hutan dan penempatan Orang Asli, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sehubungan itu, beliau berkata, dakwaan yang tular di media sosial kononnya kerajaan negeri telah meluluskan projek perlombongan itu adalah tidak benar dan tidak seharusnya berlaku kerana mengelirukan rakyat sedangkan prosedur permohonan masih belum dipenuhi.

"Permohonan baru akan diproses oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan akan ada laporan awal teknikal. Ada dua perkara yang mesti dipatuhi iaitu Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sebelum ML boleh diluluskan.

"Tanpa dua perkara ini, mereka tidak boleh beroperasi. Masih ada prosedur seterusnya yang perlu dipatuhi... tapi rakan di sebelah sana (pembangkang) tunjuk seperti projek ini sudah diluluskan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (DAP-Ketari) berhubung jumlah lesen perlombongan dikeluarkan di Tasik Chini, Pekan yang Wan Rosdy menegaskan semua permohonan dan keputusan yang dibuat adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang ditubuhkan pada 1 November 2019 telah menerima 192 aduan di bawah Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen Mineral 2001, Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Sumber Air 2007 dengan 142 daripadanya berjaya diselesaikan.

"Aduan yang paling banyak diterima ialah penerokaan tanah kerajaan dan pencerobohan hutan simpan. Bagi aduan yang diterima, tindakan yang akan diambil meliputi serbuan, rampasan mesin dan jentera, siasatan, kompaun dan tindakan pendakwaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin semasa menjawab soalan Young Syefura berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan pemberhentian operasi kepada semua aktiviti perlombongan di Tasik Chini pada 17 Mei 2021.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan penambahbaikan dilakukan di Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini berdasarkan kepada permintaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berdasarkan laporan berkala dihantar kerajaan negeri pada 22 Disember 2020.

Antaranya ialah menambah keluasan tapak rizab itu kepada 9,147.18 hektar, setuju mewartakan kawasan seluas 7,100.5 hektar dalam kawasan itu sebagai rizab Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini selain Jabatan Perhutanan Pahang giat melaksanakan usaha pemulihan di situ. - Bernama