Serah memorandum mohon MPN di bawah Agong

Abu Hafiz ketika ditemui di luar Pintu 3 Istana Negara
Abu Hafiz ketika ditemui di luar Pintu 3 Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Gerakan Reset Malaysia menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memohon agar penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu diletakkan di bawah Seri Paduka Baginda.

Pengarahnya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan campur tangan yang luas dan negatif dari mana-mana ahli politik.

"MPN perlu diletak bawah Yang di-Pertuan Agong dan bukan Perdana Menteri untuk elak campur tangan politik.

"Badan ini perlu diberi bidang kuasa sendiri dan juga peruntukan untuk menjalankan fungsinya pada empat kluster utama iaitu kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas istana, Muhammad Ikram Jalil di Pintu 3 Istana Negara pada Selasa.

Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, seramai 114 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong dan menandatangani memorandum tersebut.

Menurutnya, dalam memorandum tersebut pihaknya juga menuntut agar MPN dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, ia kerana rakyat berhak mempunyai pemimpin yang lebih kompeten, berintegriti, teruji dan terbukti seperti Ahli Parlimen Langkawi itu.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kami juga memohon tindakan proaktif Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan krisis di Malaysia ketika ini dan Parlimen perlu dibuka untuk semak imbang pentadbiran negara dan dasar MPN.

"Kami berharap Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu untuk mempertimbang dan memperkenan memorandum ini," katanya.