Perbaharui lesen secara pandu lalu di Perak mulai Khamis

Mohammad Yusoff melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan JPJ ketika merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Sempena Hari Kemerdekaan ke-64 Peringkat JPJ Cawangan Seri Manjung pada Selasa.
Mohammad Yusoff melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan JPJ ketika merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Sempena Hari Kemerdekaan ke-64 Peringkat JPJ Cawangan Seri Manjung pada Selasa.
A
A
A

MANJUNG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan mula menerima permohonan untuk memperbaharui lesen memandu secara pandu lalu di Pejabat JPJ Perak, mulai Khamis ini.

Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan berkata, pihaknya kini sedang melakukan sesi percubaan bagi kaedah secara pandu lalu tersebut sejak Isnin bagi memastikan semua proses berjalan lancar.

Menurutnya, pada hari pertama sesi percubaan itu sebanyak 240 transaksi dibuat dengan nilai keseluruhan RM12,114 melibatkan 56 kenderaan yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Kita akan lancarkan secara rasmi pada Khamis ini untuk perkhidmatan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia secara pandu lalu ini.

"Dijangka sebanyak 100 kenderaan sehari boleh menggunakan khidmat pandu lalu ini sekali gus memudahkan orang ramai untuk memperbaharui lesen mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Sempena Hari Kemerdekaan ke-64 Peringkat JPJ Cawangan Seri Manjung pada Selasa.

Beliau berkata, kaedah berurusan secara pandu lalu tersebut akan dilaksanakan sehingga 30 September depan dengan waktu operasi bermula jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari.

Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata, Bahagian Penguat kuasa JPJ Perak telah mengeluarkan saman terhadap kenderaan pekerja dalam Ops Patuh sejak 5 Julai lalu.

Menurutnya, tindakan itu dibuat selaras dengan penurunan kuasa kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk penguat kuasa JPJ melaksanakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Artikel Berkaitan:

"Pada peringkat awal kita menjalankan advokasi kepada kenderaan awam seperti teksi, kereta sewa, bas kilang dan bas ekspres.

"Namun pada Ogos kita sudah melaksanakan tindakan kompaun dan hasilnya sehingga kini sebanyak lima kompaun dengan nilai keseluruhan RM16,000 dikeluarkan ke atas bas kilang kerana gagal mematuhi SOP 50 peratus daripada kapasiti penuh," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan tawaran pengurangan kompaun sehingga 70 peratus sedang dilaksanakan kepada semua saman JPJ yang boleh dikompaun.

Menurutnya, tawaran kompaun tersebut mula ditawarkan pada 18 Ogos lalu sehingga 16 September depan.

Jelasnya, berdasarkan statistik di JPJ Cawangan Seri Manjung, sebanyak RM3,882 telah berjaya dikutip bermula 18 hingga 23 Ogos 2021 manakala bagi Januari hingga Julai 2021, RM305,593 kompaun telah dikutip.