Jakim, ITC perkasa pelancongan Islam di peringkat IPT

Tangkap layar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jakim, ITC dan Ipdas secara dalam talian pada Selasa.
Tangkap layar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jakim, ITC dan Ipdas secara dalam talian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (Ipdas) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasakan program pelancongan Islam di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) pada Selasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, sektor pelancongan dan IPT perlu saling melengkapi untuk pembangunan modal insan yang berkebolehan dan berpengetahuan dalam pelancongan Islam.

“Salah satu usaha MOTAC dan ITC adalah dengan memupuk generasi muda untuk memahami lebih jelas mengenai pelancongan Islam agar mereka dapat mempelopori sektor ini secara lebih lestari pada masa akan datang.

“Saya yakin gabungan kepakaran dua agensi ini mampu memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan modal insan dan tenaga kerja yang dinamik bukan sahaja dari sudut ilmu agama tetapi juga dalam aspek pengetahuan serta pelancongan kontemporari sekali gus dapat menyumbang pada kemampuan negara untuk bersaing di peringkat global,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jakim dan ITC secara maya pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh; Ketua Pengarah ITC, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan dan Pengarah Ipdas, Mohamad Zamri Mohamed Shapik.

Mengulas lanjut, Noor Zari berkata, Malaysia telah diiktiraf sebagai destinasi percutian mesra Muslim terbaik melalui MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) ketika pelancaran Sidang Kemuncak Global Halal in Travel 2021 pada 14 Julai lalu.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha dan komitmen berterusan pihak kerajaan dan swasta dalam mengembangkan pelancongan Islam melalui konsep serta strategi pemasaran pelancongan mesra Muslim di pasaran serantau dan global,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya, kini terdapat persaingan hebat dalam sektor pelancongan tersebut bukan hanya dari negara Islam, tetapi juga negara bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapati negara seperti Thailand, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Australia mula merancang serta membangunkan strategi pelancongan mesra Muslim untuk menarik pelancong Islam dari seluruh dunia.

“Oleh itu, demi memanfaatkan peluang dan potensi pelancongan Islam serta persediaan untuk menghadapi saingan yang hebat dari negara lain, Malaysia memerlukan tenaga kerja yang berkebolehan dan memahami aspek kepimpinan, pengurusan dan pemasaran strategik,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, MoU tersebut adalah simbolik kerjasama rasmi dalam pembangunan modul diploma pelancongan Islam dan program pelancongan yang mematuhi syariah.

Katanya, peluang itu bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi bahkan dapat memperkenalkan amalan Islam di Malaysia yang ramah dan sederhana.