Tak sempat punggah rokok

Rosman (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seleudup yang dirampas dalam Ops Landai, petang semalam.
Rosman (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seleudup yang dirampas dalam Ops Landai, petang semalam.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Sekumpulan penyeludup berputih mata apabila tidak sempat memunggah rokok seludup yang baru tiba dari negara jiran selepas Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu sebuah premis di kawasan perindustrian Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, petang semalam.

PPM dalam Op Landai yang dijalankan kira-kira jam 3.30 petang itu berjaya merampas 1,400 karton rokok putih pelbagai jenama bernilai RM222,006 termasuk cukai.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kejayaan hasil risikan dan intipan PPM Pelabuhan Klang di lokasi tersebut sebelum serbuan dilakukan dan mendapati sekumpulan penyeludup sedang memunggah rokok dari sebuah lori ‘bonded’.

“Kita berjaya menahan sembilan warga tempatan berusia 18 hingga 40 tahun dipercayai pemandu kenderaan dan individu yang terlibat dalam kegiatan ini.

“Turut dirampas enam kenderaan melibatkan tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova, sebuah lori satu tan jenis Hino dan masing-masing sebuah kereta Proton Waja dan Proton Persona dipercayai digunakan untuk pengedaran rokok,” katanya.

Kenderaan yang dirampas selepas terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Kenderaan yang dirampas selepas terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, hari ini.

Menurutnya, 850 karton rokok jenama John D-Blend dan 550 karton rokok jenama John White bernilai RM222,006 termasuk cukai ditemui dan kesemua dirampas termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM412,006,” katanya.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal pihaknya mendapati rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan jalan laut sebelum diseludup ke Thailand.

“Namun dilencongkan ke negara ini terlebih dahulu bagi pasaran tempatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan,” katanya.

Sementara itu, Rosman berkaya, PPM Wilayah Satu berjaya membuat tangkapan sebanyak 221 kes melibatkan nilai rampasan sebanyak RM8.34 juta.

“Kita akan terus mempertingkatkan lagi pengumpulan maklumat dan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani aktiviti penyeludupan di perairan negara,” katanya.