Urus jenazah Covid-19: Penglibatan NGO perlu pertimbangan JAIS

Amirudin (gambar kecil) ketika menjawab soalan berhubung kesediaan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan NGO bagi menguruskan jenazah-jenazah Covid-19 di negeri ini semasa Sidang DUN Selangor, pada Selasa.
Amirudin (gambar kecil) ketika menjawab soalan berhubung kesediaan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan NGO bagi menguruskan jenazah-jenazah Covid-19 di negeri ini semasa Sidang DUN Selangor, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pengurusan jenazah Covid-19 perlu mendapat pertimbangan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terlebih dahulu dengan beberapa kriteria ditetapkan ke atas pihak terlibat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini, terdapat 189 sukarelawan terdiri daripada NGO, individu, jabatan dan beberapa pihak lain telah berkerjasama dengan JAIS bagi membantu pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini.

Amirudin berkata, antara syarat utama yang ditetapkan adalah NGO terlibat seharusnya berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Pemerbadanan Pemegang Amanah sekiranya berentiti sebagai sebuah yayasan.

“Selain itu, NGO terlibat juga perlu mempunyai reputasi dan jalinan yang baik dengan agensi berkepentingan dan tujuan penubuhannya adalah bagi peningkatan syiar Islam serta ummah,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung, pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan oleh Azmizam Zaman Huri (PKR-Pelabuhan Klang) berhubung kesediaan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan NGO bagi menguruskan jenazah-jenazah Covid-19 di negeri ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, JAIS juga tidak mengenakan sebarang bayaran bagi perkhidmatan pengurusan jenazah Covid-19 melainkan kos membabitkan tanah perkuburan sahaja.

“Bagi tanah perkuburan pihak berkuasa tempatan (PBT), kosnya adalah antara RM120 sehingga RM300 manakala kubur kariah pula kosnya tidak melebihi RM500,” katanya.

Tambah beliau, sehingga 10 Ogos lalu, sebanyak 776 jenazah Covid-19 telah diuruskan oleh JAIS dengan bantuan daripada sukarelawan dari seluruh hospital di negeri ini.

Artikel Berkaitan: