Kes penjawat awam terlibat dadah serius: AADK

A
A

KUALA LUMPUR - Penglibatan penjawat awam dengan penyalahgunaan dadah boleh dikatakan serius dan perlu ditangani segera, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Izhar Abu Talib.

Beliau berkata berdasarkan statistik tahun lepas, daripada 27,900 kakitangan awam yang menjalani ujian air kencing, 300 didapati positif dadah.

“Kebanyakan penjawat awam didapati positif dadah jenis methamphetamine kerana ia mudah diperoleh dengan harga mampu milik selain dapat membantu meningkatkan tenaga untuk bekerja. Kebanyakan mereka yang terlibat dengan dadah ini daripada kumpulan sokongan seperti pemandu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi mengurangkan penglibatan kakitangan awam dengan penyalahgunaan dadah, AADK menjalankan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) sejak 2010, yang antara lain menggalakkan proses rawatan pemulihan dalam kalangan pekerja yang terlibat dengan dadah.

“Penglibatan kakitangan awam dengan dadah adalah serius. Selain program TEKAD, majikan disaran mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa pencegahan dadah di tempat kerja masing-masing," katanya.

Izhar berkata antara faktor penjawat awam terlibat dalam penyalahgunaan dadah ialah tekanan tinggi semasa bekerja, tempoh masa kerja yang lama atau giliran bekerja yang tidak menentu selain keadaan tempat kerja yang teruk atau bahaya.

"Selain itu, bekerja dalam suasana mengejar tarikh akhir serta sistem penyeliaan yang ketat dan tidak menentu, selain perubahan organisasi misalnya berpindah tempat kerja atau pertindanan kerja turut menjadi faktor penjawat awam terlibat dengan dadah," jelasnya.

Beliau berkata antara simptom yang ditunjukkan oleh pekerja yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ialah kualiti kerja yang tidak konsisten, cuai dan kerap melakukan kesilapan, sering mengalami masalah kewangan, mengelak rakan kerja dan penampilan diri semakin merosot.

Sementara itu, Izhar berkata individu yang terlibat dengan najis dadah tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya wajar diberi peluang kedua dengan menghantar mereka mengikuti program intervensi yang dianjurkan oleh kerajaan dan swasta.

"Kita seharusnya beri mereka peluang, kerana apabila mereka hilang punca pendapatan ia akan turut memberi impak kepada anggota keluarga mereka," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia