Mayat lelaki bot langgar boya ditemui

Mangsa Mohamad Ewandi (gambar kecil) ditemui terdampar oleh orang awam yang sedang menjala udang di Teluk Tembun, Temoyong, Langkawi pada petang Isnin. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Mangsa Mohamad Ewandi (gambar kecil) ditemui terdampar oleh orang awam yang sedang menjala udang di Teluk Tembun, Temoyong, Langkawi pada petang Isnin. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

LANGKAWI - Mangsa yang hilang selepas tercampak ke laut apabila bot yang dinaikinya terlanggar boya pada Ahad lalu ditemui meninggal dunia oleh orang awam yang sedang menjala udang di Teluk Tembun, Temoyong, Langkawi pada petang Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mangsa, Mohamad Ewandi Husnan, 22, ditemui terdampar di kawasan paya bakau kira-kira pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan kenderaan pacuan empat roda PDRM ke kawasan jalan raya berhampiran.

"Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam dan masih lengkap berseluar panjang berwarna hitam ketika air laut surut.

"Ahli keluarga mangsa yang hadir ke lokasi membuat pengecaman mayat berdasarkan pakaian dan ciri-ciri fizikal mangsa serta mengesahkan mayat berkenaan adalah Muhamad Ewandi yang dilaporkan hilang setelah bot dinaiki terlanggar dan mangsa serta tiga rakan tercampak ke laut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Zawawi berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak PDRM dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.

"Berikutan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) yang memasuki hari kedua ini ditamatkan pada jam 7 malam pada Isnin," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas tercampak ke laut apabila bot fiber yang dinaikinya terlanggar boya di 0.5 batu nautika, selatan Pulau Lalang, Langkawi sekitar jam 10 pagi pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Tiga mangsa berumur lingkungan 18 hingga 53 tahun berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan sekitar jam 10.20 pagi, namun seorang lagi kru, Mohamad Ewandi Husnan, 22, masih hilang.