Kelantan vaksin pelajar pertengahan September

Dr Izani Husin
Dr Izani Husin
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan akan melaksanakan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah menengah yang berusia 17 dan 18 tahun bermula pada pertengahan September ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, pelaksanaan itu sebagai persediaan bagi membolehkan pelajar memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sudah memutuskan untuk memberi vaksin Covid-19 kepada pelajar bermula dengan mereka yang berusia 17 dan 18 tahun.

“Pelaksanaannya akan dimulakan pada pertengahan September ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Azziz Kadir (Pas-Jelawat) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ke-14 pada Selasa.

Beliau berkata, Kelantan memohon tambahan vaksin sebanyak 200,000 dos daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya pertengahan Oktober ini.

“Pada September, kerajaan negeri dijangka mendapat sebanyak 700,000 dos vaksin Covid-19 dan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan tambah vaksin untuk Kelantan bagi memastikan negeri ini mencapai imuniti kelompok.

“Setakat Sabtu lalu, jumlah individu yang disuntik vaksin bagi dos pertama adalah sebanyak 54 peratus dan dos kedua 34.4 peratus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, setelah mencapai imuniti kelompok, Kelantan akan mula memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada pesakit terlantar.

“Pihak JKNK akan pergi ke rumah-rumah untuk memberikan vaksin kepada pesakit terlantar.

“Kini semakin ramai rakyat negeri ini yang mahu vaksin selepas melihat rakyat kita yang menerima vaksinasi selamat,” katanya.