NGOi, yayasan patuhi syarat dibenar urus jenazah Covid-19 di Selangor

JAIS akan pertimbangkan mana-mana pertubuhan Islam bukan kerajaan atau yayasan untuk terlibat sama uruskan jenazah Covid-19. - Gambar hiasan
JAIS akan pertimbangkan mana-mana pertubuhan Islam bukan kerajaan atau yayasan untuk terlibat sama uruskan jenazah Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempertimbangkan mana-mana pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) atau yayasan untuk terlibat sama menguruskan jenazah Covid-19.

JAIS dalam satu kenyataan memaklumkan, bagaimanapun, penglibatan NGOi dan yayasan berkaitan adalah dengan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS.

"Sehubungan itu, mana-mana NGOi atau Yayasan yang memenuhi syarat, akan dipertimbangkan untuk terlibat sama menguruskan jenazah Covid-19 di negeri ini," katanya menerusi status dimuat naik di Facebook rasmi JAIS pada Isnin.

Menerusi perkongsian terma dan syarat pentauliahan NGOi atau yayasan dalam pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini, terdapat sebanyak 20 perkara ditetapkan JAIS kepada mana-mana NGOi dan yayasan.

Antara terma dan syarat itu menetapkan pemohon mestilah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau berdaftar dengan Pemerbadanan Pemegang Amanah jika berentiti sebagai sebuah yayasan.

Selain itu, pemohon telah berdaftar dengan pihak berkuasa melulus sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh permohonan serta tujuan penubuhan NGOi mempunyai kaitan dengan peningkatan syiar Islam, pembangunan sosial dan kebajikan ummah.

Syarat lain antaranya mempunyai reputasi dan jalinan hubungan baik dengan agensi berkepentingan serta perkhidmatan diberikan berasaskan tugas-tugas kesukarelawan dan tiada sebarang bayaran dikenakan oleh JAIS.

JAIS juga menetapkan sebarang caj dikenakan pihak NGOi atau yayasan berkaitan pengurusan jenazah Covid-19 hendaklah mengikut kadar munasabah yang ditetapkan oleh hospital.

Artikel Berkaitan: