PAM perkasakan golongan muda

Penanaman cili dengan menggunakan smart fertigasi.
Penanaman cili dengan menggunakan smart fertigasi.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Agropreneur Muda (PAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membantu lebih 7,571 usahawan muda dalam memajukan pelbagai projek agromakanan dalam negara sejak 2016.

Program tersebut khusus untuk menarik golongan belia yang berumur 18 hingga 40 tahun supaya menggalakkan mereka dalam menceburi bidang yang merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan dan industri pemakanan.

MAFI juga menawarkan tiga inisiatif menerusi PAM yang akan membantu usahawan muda termasuk dari sudut pemberian Geran Agropreneur Muda (GAM), pinjaman pembiayaan Agro-Yes melalui Agrobank dan latihan serta kursus teknikal.

GAM menjadi satu pilihan penting bagi membantu anak muda memulakan projek pertanian terutama ketika negara dan dunia berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19.

Antara produk Pizza Bite yang ditawarkan kepada pelanggan.
Antara produk Pizza Bite yang ditawarkan kepada pelanggan.

Sejak dilancarkan pada tahun 2016 sehingga kini, MAFI telah membantu seramai 7,406 usahawan Agropreneur Muda menerusi bantuan geran dan 165 melalui pinjaman pembiayaan.

Daripada program itu juga, PAM telah melahirkan beberapa ikon yang akan menjadi tempat rujukan golongan muda yang ingin menceburi bidang tersebut.

Ikon-ikon tersebut dipilih berdasarkan pencapaian dari sudut pendapatan, penambahbaikan inovasi dan juga penyediaan latihan kepada bakal usahawan muda.

Artikel Berkaitan:

Antara ikon yang menjadi pilihan, pengusaha tanaman cili, Norhashim Kamisan, 37, merupakan anak muda yang hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi berjaya meraih pendapatan RM4 juta setahun menerusi sektor pertanian.

Beliau telah menceburi PAM sejak tahun 2016 yang bermula pada skala kecil dan mengembangkan tanaman cili kepada skala yang lebih besar.

“PAM menyediakan beberapa inisiatif selain daripada geran. Usahawan diberikan pinjaman dengan kerjasama Agrobank yang dapat membantu usahawan ingin mengembangkan projek perniagaan mereka.

“Unit Agropreneur Muda di bawah MAFI juga memberikan galakan kepada usahawan-usahawan baru melalui seminar secara maya, pendedahan dan kaedah untuk menceburi dalam bidang industri pertanian,” kata Norhashim kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norhashim berkata, ladang cili miliknya juga mempunyai elemen Internet of Things (IoT) yang merupakan sistem untuk mengawal semburan baja menggunakan teknologi secara automatik.

Norhashim menunjukkan hasil tanaman cili yang diusahakannya.
Norhashim menunjukkan hasil tanaman cili yang diusahakannya.

Jelasnya, dengan adanya sistem tersebut, ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang kritikal ketika ini.

“Ini merupakan satu kaedah yang kami lakukan dengan menggunakan alat atau mesin sedia ada yang mempunyai penyambungan melalui internet.

“Mesin ini dikawal oleh telefon pintar selain turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup untuk memantau ladang tanpa membabitkan tenaga kerja yang ramai,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendapatannya meningkat sehingga mencecah RM18,000 hingga RM32,000 seminggu sejak menyertai PAM.

Tambah Norhashim, dia juga turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat yang membantu memasarkan produk yang dihasilkan.

“Dalam tempoh pandemik ini, PPK dengan kerjasama Agropreneur Muda di bawah MAFI memang memberi kelebihan kepada petani yang ada di Malaysia,” jelasnya.

Ramana usahawan jagung berjaya

Sementara itu, pengusaha jagung bijirin, Ramana K Naidu, 31, dipilih oleh MAFI sebagai ikon dan mendapat Geran National Blue Ocean Strategies atau Strategi Lautan Biru Kebangsaan sebanyak RM15,000 dan juga Geran Agropreneur Muda sebanyak RM15,000.

Ramana di ladang jagung miliknya.
Ramana di ladang jagung miliknya.

Beliau yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Famox Plantation berkata, geran tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk membesarkan perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi.

“Selepas enam bulan terima geran tersebut saya telah mendapat sokongan daripada MAFI untuk mendapatkan pembiayaan RM300,000 tanpa cagaran dengan kadar bunga yang rendah.

“Saya juga mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Unit Agropreneur Muda, kementerian dan Agrobank serta Jabatan Pertanian yang banyak membantu sehingga syarikat berjaya mencatatkan transaksi berjumlah RM10 juta hingga 15 juta setahun,” katanya.

Selain itu, Ramana berkata, beliau juga turut mendapat peluang untuk belajar kursus dan latihan di luar negara seperti di Thailand, Indonesia dan Jepun.

“Seramai enam usahawan ikon berpeluang pergi ke Jepun untuk mempelajari sistem IoT dalam bidang pertanian.

“Saya dibawa oleh mereka tanpa sebarang bayaran untuk belajar kaedah dan teknologi yang digunakan oleh Jepun kerana mereka sudah 30 tahun ke hadapan,” ujarnya.

Ramana turut mendapat jaringan luas selepas menyertai PAM yang akhirnya dapat membantu meningkatkan pendapatannya.

“Kementerian menghebahkan mengenai kejayaan dan usahawan muda di laman media sosial. Tindakan ini telah berjaya menarik minat anak-anak muda terhadap pertanian terutamanya yang sedang mencari maklumat tersebut di platform Facebook dan Instagram.

“Mereka banyak menghubungi kami dan bertanya, malah ramai yang telah menjadi ‘mentee’ saya.

“Saya mengamalkan konsep ‘mentor mentee’ dan apa yang saya kongsikan ialah mengenai teknologi, dana kepada usahawan baru yang betul-betul berminat dan juga maklumat pertanian. Saya membeli hasil tanaman jagung bijan yang mereka usahakan,” jelasnya.

Suhaidy bangun hab perikanan

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan SMaju Agro Venture, Suhaidy Shuib, 36, yang turut dikategorikan sebagai ikon agropreneur muda bagi industri sektor perikanan berkata, PAM banyak memberikan bimbingan dan sokongan dalam mengembangkan perusahaannya.

Suhaidy di kawasan penternakan udang kara.
Suhaidy di kawasan penternakan udang kara.

Menurutnya, bantuan GAM yang diperolehnya telah digunakan untuk membangunkan hab pengumpulan serta tumpuan penternakan udang kara.

Suhaidy berkata, geran itu diperoleh daripada Jabatan Perikanan pada tahun 2019.

“Sebelum ini kami menternak udang tetapi sejak tahun 2019 kami mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan untuk membangunkan hab pengumpulan serta tumpuan penternakan udang kara.

“Apa yang berlaku sekarang ini kami memfokuskan untuk mengumpul, merawat dan khaskan mengikut permintaan yang ada di pasaran.

“Ia sedikit berbeza dengan peranan yang dimainkan oleh orang tengah yang akan mengambil dan terus hantar sahaja,” katanya.

Suhaidy yang berasal daripada Kuala Lumpur itu berkata, GAM juga turut memberi bantuan membekalkan peralatan-peralatan penting untuk perusahaannya.

Di samping itu, Suhaidy yang juga mempunyai Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, pihak PAM sentiasa menghubunginya bagi mengikuti perkembangan projek yang diusahakannya.

Tambahnya, setiap tahun pihak kementerian atau agensi yang berkaitan akan menyediakan pelbagai kursus alternatif kepada usahawan muda untuk menambahkan pengetahuan mereka.

“Antaranya ialah kursus teknikal berkaitan dengan penternakan dan kursus bukan teknikal yang berkaitan dengan pemasaran, teknik pemasaran dan konteks pengurusan.

“Selain itu, kementerian dan agensi juga banyak membantu saya dalam memahami dengan lebih jelas berkaitan dengan perusahaan itu sendiri,” katanya.

Suhaidy berkata, sektor penternakan ikan air tawar yang diusahakan oleh SMaju Agro Venture itu mengikuti saranan yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.

Jelasnya, ia bagi memastikan spesis udang kara daripada luar negara itu mendapat pengawalan yang rapi.

“Saya menternak udang kara jenis Cherax Quadricarinatus atau lebih dikenali red claw.

“Ternakan udang kara ini secara asasnya berasal dari Australia. Kami menternak udang kara ini menggunakan konsep tangki yang merupakan salah satu syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan kerana ia bukan spesies tempatan.

“Ia membolehkan pengawalan penternakan udang kara berlaku dengan lebih baik,” katanya.

PAM bantu Sharifah Zahidah

Pengarah Urusan Oursaf Sdn Bhd, Sharifah Zahidah Syed Nooh, 33, berkata, program-program yang disediakan oleh PAM membuka peluang kepada usahawan agropreneur muda sepertinya meluaskan networking sesama mereka.

Menurutnya, ia merupakan medium yang terbaik kerana mereka bukan sahaja boleh berkongsi pengalaman malah secara tidak langsung memberi kesempatan dalam menambah baik potensi perniagaan mereka.

Sharifah Zahida di kilang pizanya iaitu Pizza Bite.
Sharifah Zahida di kilang pizanya iaitu Pizza Bite.

“Apabila seseorang bertemu dan berjumpa dengan usahawan-usahawan yang lain ia membantu untuk menambah nilai dalam diri dan mengembangkan pemikiran usahawan.

“Dalam bidang perniagaan, ia berkait dengan bagaimana kita mengembangkan keupayaan kita.

“Apabila kita berjumpa dengan usahawan-usahawan ini, kita dapat dengar pengalaman dari segi jatuh bangun mereka dalam perniagaan serta bertukar informasi berkenaan program-program tertentu. Jadi ia banyak membantu,” katanya.

Sharifah Zahidah yang juga merupakan ibu kepada dua orang anak itu berkata, kursus-kursus yang disediakan jelas memberi manfaat bukan sahaja kepadanya malah kepada semua pengusaha agropreneur muda yang ingin mendalami ilmu perusahaan dengan lebih mendalam.

Menurutnya, ilmu yang diperolehi itu dapat membantu agropreneur muda menyelamatkan perniagaan mereka daripada krisis negara masa kini seperti Covid-19, ekonomi merosot dan sebagainya.

Sharifah Zahidah yang lahir di Kedah menceburi bidang pemakanan secara aktif pada tahun 2020 dengan bermodalkan RM250,000.

Katanya, selain daripada penyediaan kursus, PAM turut meringankan bebannya dengan memberi sokongan dari segi penyediaan peralatan dan mempromosikan produknya.

“PAM banyak memberikan bantuan kepada usahawan sepertinya dalam mempromosikan produk menerusi program-program tertentu. Antara bentuk promosi yang dilaksanakan ialah membawa usahawan memperkenalkan produk mereka ke luar negara dan mendapatkan khidmat konsultasi daripada agensi-agensi tertentu.

“PAM memberikan saya oven tiga deck dan ia membantu dalam mengurangkan kos operasi kami kerana ia dapat membantu mengeluarkan lebih banyak (piza) dalam waktu yang singkat,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Zahidah berkata, sehingga kini perusahaannya, Oursaf BBite menyediakan sebanyak lapan jenis menu piza.

IKON

1)Nama: Ramana K Naidu

-Umur: 31

-Nama Syarikat: Famox Plantation M Sdn

Bhd

-Lokasi Syarikat: Merbok, Kedah

-No. Tel: 0125882911

-Facebook: Famox Agrotech

-E-mel: famox.malaysia@gmail.com

Website: www.famox.com.my

2)Nama: Norhashim Kamisan

-Umur: 37

-Nama syarikat: Pewaris Bumi Hijau (M) Sdn

Bhd

-Lokasi syarikat: Telok Panglima Garang,

Selangor

-Nombor telefon: 03-31226280/017-

7412321

-E-mel: pewaris.office@gmail.com

-Website/blog: www.fertigasihijau.

blogspot.com

3)Nama: Suhaidy Shuib

-Umur: 36

-Nama Syarikat: SMaju Agro Venture

-Lokasi Syarikat: Hulu Langat, Selangor

-No. Tel: 0178824500

-Facebook: SMaju Agro Venture

-E-mel: smajuventure@gmail.com

4) Nama: Sharifah Zahidah Syed Nooh

-Umur: 34

-Asal: Kedah

-Nama syarikat: Oursaf Sdn Bhd

Geran Agropreneur Muda (GAM)

-Pilihan bantuan penting bagi membantu anak-anak muda memulakan projek pertanian

-Peruntukan sebanyak RM15 juta dengan sasaran 750 orang agropreneur muda untuk dapatkan bantuan pada tahun 2021

-Dilancarkan sejak tahun 2016

-Sehingga kini sejumlah RM131.8 juta peruntukan telah memberi manfaat kepada 7,406 usahawan Agropreneur Muda

-Menjangkakan kesan penggandaan bernilai RM89.4 juta melalui bantuan geran yang diberikan