Patuh, taat kepada kepimpinan baharu: Mufti Kelantan

Mohamad Shukri
Mohamad Shukri
A
A
A

KOTA BHARU - Islam menuntut umatnya memberi kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan termasuklah keputusan yang telah dibuat berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, berdasarkan tuntutan agama, orang Islam mesti berpegang teguh kepada apa-apa yang diputuskan apabila sudah ada keputusan yang dibuat.

Menurutnya, mengikut kaedah Islam juga sekiranya timbul pertikaian terhadap keputusan yang telah dibuat, penganut agama itu perlu tunduk kepada majoriti.

“Kita bersyukur masalah pemilihan Perdana Menteri ini sudah pun terjawab iaitu dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Orang Islam mesti berpegang teguh kepada apa-apa yang telah diputuskan dan sekarang apabila sudah ada keputusan yang dibuat, masing-masing perlu beri kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan baharu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seandainya mana-mana pihak cuba membangkitkan tentang keabsahan pelantikan Perdana Menteri seperti yang berlaku sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri juga menyifatkan pendekatan Ismail Sabri yang mengetengahkan konsep Keluarga Malaysia sebagai langkah yang sangat positif.

“Konsep yang mana semua rakyat dapat merasa sebagai satu keluarga besar agar apa-apa permasalahan yang timbul kita dapat selesaikan secara berkeluarga.

Artikel Berkaitan:

“Kita mendoakan beliau akan diberikan kesihatan, taufik dan hidayah sekali gus dapat memimpin serta merealisasikan harap rakyat iaitu dua penyelesaian yang besar mengenai kesihatan serta perkembangan ekonomi,” katanya.

Ujar beliau, kedua-duanya berkaitan secara langsung dengan aktiviti keagamaan yang kini ditangguhkan untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada penambahbaikan kesihatan dan ekonomi.

“Kesihatan dan keselamatan masyarakat itu perlu diberi keutamaan serta dijaga.

“Sekiranya kesihatan dan ekonomi kembali pulih, maka aktiviti keagamaan pun dapat dipulihkan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Pelantikan itu selepas Seri Paduka Baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.