Syarikat Sweden cipta susu daripada ubi kentang

Minuman susu yang diperbuat daripada ubi kentang kini dijual di United Kingdom. - Foto DUG
Minuman susu yang diperbuat daripada ubi kentang kini dijual di United Kingdom. - Foto DUG
A
A
A

STOCKHOLM - Sebuah syarikat dari Sweden mencipta kelainan apabila memperkenalkan minuman susu yang diperbuat daripada ubi kentang baru-baru ini.

Syarikat itu dikenali sebagai DUG yang merupakan jenama susu Sweden ditubuhkan oleh firma induknya, Veg of Lund.

Ia merupakan hasil kolaborasi dengan seorang wanita, Eva Tornberg iaitu profesor dalam teknologi makanan di Universiti Lund di negara tersebut.

Pada lewat 2017, Tornberg mendedahkan beliau menemui cara untuk menukarkan ubi kentang kepada susu dan ia kini akhirnya menjadi kenyataan apabila ia dijual di UK dan Sweden pada Mei lalu.

Satu bungkusan yang mengandungi enam liter susu itu kini boleh dibeli di laman sesawang membeli-belah Amazon United Kingdom (UK) pada harga £12.50 (RM72.90).

Bagaimanapun, harga itu dua kali lebih tinggi daripada harga susu lembu di UK.

Susu itu diperkuatkan dengan vitamin B12 dan mengandungi kandungan gula yang rendah dan lemak tepu serta diperkayakan dengan kalsium, vitamin D, B12 dan asid folik.

Menurut portal Totally Vegan Buzz, susu tersebut pernah menerima anugerah bagi kategori Produk Mesra Sumber Alam Terbaik pada Majlis Inovasi Makanan Sedunia 2021. - Agensi

Artikel Berkaitan: