Polis rampas tong gas curi bernilai RM4,000

Risikin (kiri) menunjukkan 43 tong gas yang berjaya dirampas.
Risikin (kiri) menunjukkan 43 tong gas yang berjaya dirampas.
A
A
A

SUBANG JAYA - Taktik sekumpulan penjenayah dikenali Geng Arun yang bukan saja mencuri 50 buah tong gas, malah turut melarikan sebuah lori terbongkar selepas mereka ditahan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, dalam insiden pada 17 Februari lalu, kumpulan itu mencuri 50 tong gas terbabit yang disimpan dalam stor di SS15, di sini.

Beliau berkata, suspek memunggah tong gas terbabit ke dalam sebuah lori yang berada di situ sebelum melarikan diri.

"Mereka bawa kesemua tong gas itu ke satu lokasi terbiar di Bandar Sunway dan sembunyikan di situ.

"Lori tersebut kemudiannya ditinggalkan kumpulan suspek itu di tepi jalan, " katanya pada sidang akhbar di IPD Subang Jaya, semalam.

Menurutnya, bertindak atas laporan diterima, polis menyerbu dua lokasi di Sungai Way dan Bandar Sunway pada keesokan harinya.

"Dalam serbuan di Sungai Way kita tahan dua orang suspek, manakala seorang lagi di Bandar Sunway.

"Turut dirampas 43 tong gas bernilai RM4,500,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Manakala baki tujuh lagi tong gas sudah dijual kepada pelanggan.

Risikin berkata, semakan menunjukkan ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan samun, pecah rumah serta dadah.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 30 ke 40 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.