Ketagih berbelanja dalam talian

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

HANYA menggunakan jari, barang yang dipesan sudah sampai depan rumah. Itu gambaran mudah apabila berbicara tentang pembelian dalam talian yang kini semakin popular.

Bermula daripada makanan, pakaian, alat tulis, barang kelengkapan rumah, sehinggalah kepada barangan penjagaan diri, semuanya boleh dibeli semudah itu.

Namun sejauh mana masyarakat bersedia untuk menjadikan pembelian dalam talian ini sebagai alternatif selain daripada keluar mendapatkannya di pasar raya mahupun kedai-kedai yang sudah biasa dikunjungi.

Adakah pembelian dalam talian ini akan memberi kesan kepada pengguna dan peniaga? Sejauh mana persediaan kedua-dua pihak ini untuk memastikan urusan perniagaan masih berjalan dengan baik walaupun dalam kaedah yang baharu?

Bisnes dalam talian dilihat sebagai medium terbaik apabila negara dilanda penularan Covid-19. Malah kajian agensi berkenaan juga menunjukkan aktiviti jual beli dalam talian itu mencatatkan jumlah peningkatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Malah jumlah peratusan berkenaan juga dijangka naik dari masa ke masa sehinggalah Ogos tahun ini.

Pembelian dalam talian ini sebenarnya mempunyai pro dan kontranya sendiri jika hendak dibandingkan dengan pembelian secara ‘bersemuka’. Jika kita memerlukan perbandingan harga dan kualiti, jualan dalam talianlah inisiatif paling mudah untuk kita gunakan.

Hanya memerlukan gajet seperti telefon pintar atau komputer riba, apa sahaja yang kita inginkan ada dalam peranti berkenaan mengikut laman sesawang yang telah disediakan.

Artikel Berkaitan:

Pembayaran juga boleh dibuat dengan pelbagai cara dan kemudahan yang diberikan terutamanya pembayaran terus melalui dalam talian, pembayaran bersemuka mahupun potongan terus melalui perbankan.

Langkah ini sebenarnya membantu memudahkan pembeli kerana mereka tidak memerlukan duit tunai yang banyak di tangan.

Aktiviti ini juga sebenarnya mengurangkan jangkitan terhadap wabak-wabak yang tidak sepatutnya, sekali gus ia membantu masyarakat untuk lebih menjaga penjarakan sosial.

Bukan kepada pembeli sahaja, malah penjual juga mempunyai kelebihan tersendiri apabila mereka hanya perlu menggunakan laman-laman sosial sendiri mahupun platform e-dagang yang disediakan.

Mereka kini hanya perlu muat naik gambar di platform e-dagang, kongsi kepada seluruh masyarakat dan tunggu sahaja tempahan masuk.

Mudah, ringkas, menjimatkan masa dan menjimatkan wang modal pendahuluan. Itu di antara perkara asas yang dititik beratkan seseorang peniaga terutamanya mereka yang menyediakan perkhidmatan penyediaan makanan dan sebagainya.

Namun mereka tidak boleh ambil mudah semua perkara, tanggungjawab sebagai penjual perlu dititik beratkan, kejujuran dalam perniagaan, kualiti dan harga yang ditawarkan juga perlu seiring dengan perkembangan semasa.

Boros

Bagaimanapun, orang ramai juga diharap dapat menggunakan kemudahan pembelian dalam talian yang pantas ini dengan berhemah kerana bimbang boleh menjurus kepada pemborosan pula.

Pembelian perlu dilakukan dengan berhemah memandangkan ada kajian menyatakan pembelian dalam talian boleh menyebabkan seseorang itu ‘hilang kawalan’ sampai berlaku pembaziran.

Oleh sebab itulah kita perlu menjadi pembeli yang bijak mengatur kewangan walaupun urusan pembelian semudah petik jari sahaja.

Jangan mudah terpengaruh dengan iklan, tawaran dan diskaun gempak yang disediakan sehingga menjadikan masyarakat ‘ketagih’ untuk menekan butang tempahan.

Seeloknya rancanglah pembelian sebaik mungkin bagi memastikan kita dapat membezakan keperluan dan kehendak, terutamanya melibatkan barangan rumah yang sangat mudah diperoleh daripada laman-laman e-dagang berkenaan.

Inilah normal baharu kita, walaupun ia bukan satu kemestian, namun kebarangkalian untuk kita menjadikan pembelian dalam talian sebagai rutin bulanan adalah tinggi bagi membantu memudahkan urusan dalam tempoh penularan Covid-19 kini.

Jaga diri dan jadilah pembeli yang berhemah.

* Siti Fatihah Awang ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan