Teruskan agenda Undi 18: MBM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agenda pelaksanaan undi pada usia 18 tahun (Undi 18) perlu diteruskan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Johar berkata, pelaksanaan Undi 18 merupakan harapan dan aspirasi anak muda untuk menyertai secara aktif dalam memilih pemimpin negara.

"Kita lihat Perdana Menteri (Ismail Sabri) merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet yang lepas, jadi sudah tentu sebahagian daripada perkara yang diusulkan sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan harus dibawa ke depan.

"Antaranya yang terkait langsung dengan anak muda ialah Undi 18. Saya yakin kalau ini yang dijadikan antara perkara utama oleh Ismail Sabri, ini akan memberikan lonjakan imej yang positif kepada kerajaan," katanya pada Isnin.

Mengulas inti pati ucapan sulung Ismail Sabri pada Ahad yang antaranya menyentuh mengenai penglibatan anak muda diperlukan dalam menjayakan agenda pemulihan negara, Jufitri berkata, ia merupakan satu peluang yang besar buat golongan muda melibatkan diri dalam agenda itu.

Katanya, negara memerlukan anak muda yang mempunyai idea dan pendapat serta memberikan kritikan membina untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam situasi yang getir kini.

"Sudah tentu apabila kerajaan memberi fokus untuk menstabilkan situasi ekonomi, politik dan Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini, ia memberikan harapan kepada anak muda bahawa mereka masih mempunyai masa depan yang cerah," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: