NGO gesa kerajaan baharu lebih integriti

Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama bersama 188 NGO menggesa kerajaan baharu untuk lebih berintegriti, membanteras rasuah secara serius, menghindari nepotisme dan favoritisme serta kepentingan kelompok.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, agenda rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam mempertahankan dan melaksanakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai teras pembinaan negara untuk perpaduan, kestabilan serta keadilan.

Menurutnya, perhatian khas wajar diberikan kepada empat landasan yang menjadi kontrak sosial warganegara pelbagai keturunan di negara ini.

“Antaranya kesediaan orang Melayu menerima kaum lain secara automatik sebagai warganegara melalui prinsip jus soli yang diimbangi oleh empat pancang kenegaraan iaitu kedudukan Raja-Raja, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak sah kaum lain.

“Keempat-empat pancang negara tersebut tidak boleh sama sekali diganggu atau dicairkan oleh tuntutan yang tidak munasabah oleh mana-mana pihak apatah lagi dipermudah-mudahkan oleh kerajaan dengan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan peruntukan perlembagaan.

“Kerajaan perlu menjadikan politik sebagai wasilah untuk pembinaan negara yang baik serta diredai ALLAH,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Zai berkata, amanah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam pelantikan Perdana Menteri haruslah dinilai sebagai taklif atau tanggungjawab kepada negara, bukan sebagai kuasa dan keistimewaan.

Jelasnya, semua yang dilantik oleh Perdana Menteri seperti Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri lain adalah untuk membantu dan tidak wajar jika menjadikan politik sebagai peluang memenuhi kepentingan diri, keluarga atau kelompok, apatah lagi khianat terhadap amanah.

Artikel Berkaitan:

“Pelantikan Timbalan Perdana Menteri, menteri dan jawatan lain haruslah berkaitan dengan pentadbiran negara berdasarkan sosok berilmu, berkemahiran, cekap dan profesional dengan ahli politik.

“Calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya dan menang bukan syarat yang dijanjikan jawatan kerana keutamaan wakil rakyat adalah untuk berbakti kepada rakyat.

“Individu yang pernah terlibat dalam kes rasuah dan integriti serta terlibat dalam kes mahkamah adalah tidak wajar dilantik dalam barisan kepimpinan negara, negeri serta di peringkat lain,” ujarnya.

Tambah Mohd Zai, kerajaan baharu perlu merancang dan melaksanakan gerakan besar-besaran dalam memerangi rasuah yang menjadi barah dan kajian menunjukkan lebih 70 peratus rakyat mengakui rasuah adalah masalah negara.

Selain itu, ratusan bilion pendapatan negara hilang disebabkan oleh ekonomi hitam yang berpunca dari rasuah dan indeks persepsi rasuah merudum bagi negara serta keraguan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi wibawa penuh tanpa campur tangan politik sama seperti di bidang kehakiman perlu dihormati agar proses keadilan berlangsung dengan telus dan adil.

“Kerajaan perlu melibatkan badan dan institusi bukan kerajaan sebagai penyumbang fikiran, pemantau serta sebagai pihak penyemak, pengimbang dalam soal dasar dan pelaksanaan negara bagi memastikan kerajaan sentiasa telus,” katanya.