MFL pertaruh pengalaman, kematangan Stuart

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PENGALAMAN luas 15 tahun dalam pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjadi kriteria pemilihan Stuart Ramalingam untuk menduduki kerusi ketua pegawai eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pelantikan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu yang berkuatkuasa 1 September depan juga satu keputusan simbiosis yang bermanfaat kepada industri khususnya kepada pengurusan bola sepak tempatan.

“Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menentukan CEO MFL baharu selepas saya dipilih menjadi Presiden MFL pada minggu lalu. Saya bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara telah bersetuju untuk melantik Stuart sebagai CEO MFL baharu.

“Seperti saya katakan pada sesi sidang media pada minggu lalu, pengalaman antara kriteria penting buat CEO MFL di mana saya yakin bahawa kehadiran Stuart sudah pasti bakal memberikan anjakan paradigma kepada senario bola sepak tempatan.

“Saya ingin mengalu-alukan kedatangan Stuart dan saya percaya beliau mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada MFL,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin.

Untuk rekod, Stuart memulakan karier pengurusan dalam bola sepak pada 2008 selepas dilantik oleh FIFA sebagai ‘professionalisation consultant’ yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli-ahli gabungan FIFA dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemaskini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).

Empat tahun kemudian, Stuart dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Liga Super Malaysia (MSL) pada 2010 sebelum diberikan kepercayaan untuk merencanakan struktur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga aspek-aspek komersial badan induk persatuan tersebut.

Pada 2012, Stuart menyertai pula AFC dengan memegang pelbagai jawatan pengarah di sana termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC (termasuk AFC Liga Juara-Juara Asia, Piala AFC dan kejohanan-kejohanan Futsal AFC), Pengarah Pemasaran dan juga Pengarah Tanggungjawab Sosial.

Artikel Berkaitan:

Stuart kemudiannya menjadi konsultan kepada Dentsu Sports dan IMG, dua agensi sukan terbesar di dunia pada 2014 selepas berkhidmat di pelbagai tahap organisasi bola sepak.

Di Dentsu Sports, Stuart kemudian mengambil alih jawatan naib presiden selama empat tahun sehingga 2018 dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia.

Sepanjang tempoh itu, Stuart turut mengetuai operasi termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum Stuart bertugas di Pejabat Setiausaha Agung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 16 Julai 2018.