Malaysia masih kekurangan pekerja berkemahiran digital: Akademi GA

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebanyakan majikan di negara ini sukar untuk mengisi jawatan berkemahiran digital di organisasi masing-masing berikutan kekurangan tenaga kerja dalam kalangan siswazah baharu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Akademi GA Sdn Bhd, Andrew Pereira.

Beliau berkata, banyak tugas atau jawatan dalam bidang kemahiran digital yang tidak mempunyai bekalan tenaga kerja yang mencukupi memandangkan kekosongan di pasaran telah meningkat tiga kali ganda.

“Jumlah siswazah dalam bidang digital tidak meningkat tiga kali ganda sejak tahun lepas dan kebanyakan organisasi tidak boleh mengakses tenaga kerja asing melalui kaedah yang sama dilakukan seperti sebelum pandemik, justeru, majikan sebenarnya sukar untuk mengisi jurang ini.

“Ini termasuk tugas-tugas seperti penganalisis, pembangun perisian dengan pelbagai bahasa pengaturcaraan pengekodan, pereka bentuk antara muka pengguna/ pengalaman pengguna (UI/UX), saintis data, pemasar digital, pereka bentuk produk, pengurus produk serta pereka bentuk visual,” katanya dalam program 'The Nation' bertajuk 'Dealing With Rapid Digitalisation' yang disiarkan di Bernama TV pada Isnin.

Akademi GA adalah rakan eksklusif General Assembly (GA) di Malaysia dan telah menerima hak untuk memasarkan dan menyampaikan kursus digital GA untuk manfaat pekerja tempatan dan agenda digital negara.

Ia menawarkan program untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula melalui beberapa kursus seperti sains data, pemasaran digital, UI/UX, pengurusan produk, teknologi dan sebagainya.

Pereira berkata, pada masa ini Akademi GA bekerjasama dengan organisasi untuk melengkapkan pekerja mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan proses transformasi digital dengan sokongan Khazanah Nasional dan Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE).

“Kami membantu pelbagai agensi kerajaan untuk mengenal pasti kemahiran digital yang diperlukan agar ekonomi Malaysia terus maju dan melaksanakan program yang disasarkan dan membantu membina kemahiran-kemahiran itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga bekerjasama dengan individu untuk membantu mereka memahami apakah kemahiran digital yang mereka perlukan untuk menjadikan matlamat karier mereka menjadi realiti dan menyampaikan program-program itu kepada mereka,” katanya. - Bernama