Makmal PCR Covid-19 di Labuan sudah beroperasi

Pegawai perubatan yang bertugas di Bilik Pengekstrakan makmal ujian reaksi berantai polimerase (PCR) Covid-19 di Hospital Nukleus Labuan, hari ini. Foto Bernama
Pegawai perubatan yang bertugas di Bilik Pengekstrakan makmal ujian reaksi berantai polimerase (PCR) Covid-19 di Hospital Nukleus Labuan, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Makmal ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 bernilai RM700,000 telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada 15 Julai lepas.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, makmal yang telah siap di Hospital Labuan itu menghasilkan keputusan ujian PCR yang lebih cepat.

“Hampir dua tahun kami menghantar sampel ujian Covid-19 untuk dianalisis ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Semenanjung dan makmal di Kota Kinabalu, Sabah yang mengambil masa beberapa hari untuk mendapat keputusan.

“Dengan adanya makmal PCR ini (melalui pengubahsuaian di bangunan sedia ada), telah banyak membantu kami dalam mempercepatkan kerja-kerja analisis, tanpa perlu menghadapi lambakan sampel di makmal negeri lain,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Dr Ismuni berkata, makmal PCR di Hospital Labuan itu boleh mengendalikan sekurang-kurangnya 300 sampel ujian PCR sehari dan memberikan keputusan lebih cepat antara 24 ke 48 jam, manakala dua ke empat jam untuk keputusan RTK-Ag.

Pegawai perubatan yang bertugas menggunakan mesin pemanas termal di makmal ujian reaksi berantai polimerase (PCR) Covid-19 di Hospital Nukleus Labuan, hari ini. Foto Bernama
Pegawai perubatan yang bertugas menggunakan mesin pemanas termal di makmal ujian reaksi berantai polimerase (PCR) Covid-19 di Hospital Nukleus Labuan, hari ini. Foto Bernama

Beliau berkata, makmal yang dikendalikan oleh dua pakar (Dr Husna Farhanah Ahmad dan Dr Jubaida Paraja), tiga pegawai saintifik dan tujuh teknologi makmal perubatan dilengkapi dengan antaranya Thermal Cycler (untuk analisis PCR), sebuah kabinet biokeselamatan (BSC) untuk pemprosesan sampel dan inkubator untuk pentakaktifan sampel.

Dr Ismuni berkata, kadar ujian PCR untuk warganegara Malaysia ialah (RM150) (RM250 untuk bukan warganegara), ujian RTK-Ag RM60 (warganegara) dan RM120 (bukan warganegara) manakala kadar ujian Antibodi RTK ialah RM30 untuk rakyat Malaysia dan RM60 (bukan rakyat Malaysia).

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah keprihatinan Kementerian Kesihatan untuk memastikan semua hospital dilengkapi dengan kemudahan perubatan yang diperlukan, disebabkan kami melihat perlunya persediaan awal, maka kami memohon agar ada makmal PCR di sini,” katanya.

Labuan merekodkan kes harian satu angka beberapa minggu lepas dengan tiada kematian dicatatkan untuk tempoh 20 hari lepas. - Bernama