Jumpa mayat selepas pecahkan pintu rumah kedai

Pasukan bomba dan anggota Jabatan Kesihatan Terengganu membawa mayat lelaki yang ditemui di dalam premis rumah kedai di Pulau Kambing, Kuala Terengganu pada Isnin. Foto: Ihsan BBP Kuala Terengganu.
Pasukan bomba dan anggota Jabatan Kesihatan Terengganu membawa mayat lelaki yang ditemui di dalam premis rumah kedai di Pulau Kambing, Kuala Terengganu pada Isnin. Foto: Ihsan BBP Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sepasukan anggota bomba menemui satu mayat lelaki selepas membantu memecahkan pintu sebuah rumah kedai di Pulau Kambing, di sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar berkata, mayat lelaki warga emas dianggarkan berusia lingkungan 60-an itu ditemui di dalam bilik air di premis berkenaan.

Katanya, bomba menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 11.30 pagi dan tiba di lokasi jam 11.36 pagi bagi membantu usaha memecahkan pintu premis tersebut.

"Seramai lapan anggota dari BBP Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi kejadian dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memecah masuk premis tersebut.

"Sebaik pintu dibuka, satu mayat lelaki ditemui berada di dalam premis berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Rozizah, kesemua anggota bomba terlibat memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai persediaan keselamatan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Beliau berkata, mayat lelaki berkenan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan: