Pahang dijangka beralih ke Fasa Tiga PPN dalam masa terdekat

Wan Rosdy (dua dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Hamdan mewakili MBK pada Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Pahang di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan pada Isnin.
Wan Rosdy (dua dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Hamdan mewakili MBK pada Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Pahang di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Pahang dijangka beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keyakinan itu berdasarkan tiga kriteria yang ditetapkan di mana semuanya telah dipenuhi.

Menurutnya, antara kriteria itu termasuk kadar penduduk yang menerima vaksin lengkap mencapai 40 peratus, kadar jangkitan Covid-19 dalam komuniti dan bilangan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) yang rendah.

"Kita juga dalam proses untuk membuka kembali operasi pasar malam dan pasar pagi di seluruh negeri dalam masa terdekat.

"Pengumumannya akan dibuat dalam tempoh dua atau tiga hari lagi sama ada ia boleh dibuka atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Pahang di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Wan Rosdy berkata, sasaran kadar imuniti kelompok di Pahang dijangka mampu dicapai menjelang penghujung Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Pahang kini berada di landasan tepat ke arah itu di mana 70 hingga 80 peratus penduduk dijangka menerima vaksin lengkap dalam tempoh tersebut.

"Ia berdasarkan purata harian yang menerima suntikan vaksin antara 18,000 hingga 20,000 sehari ketika ini dan jumlah tertinggi yang direkodkan mencecah 23,000 penerima sehari.

"Kita bersedia untuk menerima sehingga 32,000 penerima sehari dan setakat ini proses berjalan lancar," katanya.

Tambah beliau, pada bulan ini Pahang menerima kira-kira 580,000 dos vaksin untuk diagihkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka.

"Sasaran ini bagaimanapun bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri Pahang menyasarkan untuk menanam satu juta pokok di seluruh negeri termasuk dalam kawasan hutan simpan.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu satu jawatankuasa khas telah dibentuk yang dipengerusikan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

"Bagi kawasan Hutan Simpan Kekal (HKL) Batu Talam, Raub, sasaran menanam 20,000 anak pokok hutan pelbagai spesies telah dicapai.

"Semalam sahaja lebih 2,000 pokok pelbagai spesies berjaya ditanam sempena program penanaman pokok di kawasan itu yang melibatkan peserta daripada 23 badan bukan kerajaan (NGO) melibatkan kawasan seluas kira-kira lapan hektar di kawasan HSK itu," katanya.