Projek KXP boleh jejaskan bekalan air di Pulau Pinang

Jaseni Maidinsa - Gambar fail Bernama
Jaseni Maidinsa - Gambar fail Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi amaran bahawa cadangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kuala Muda, Kedah boleh menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, ini berikutan laporan impak alam sekitar (EIA) mendedahkan bahawa projek itu boleh mencemarkan Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah utama untuk Pulau Pinang dan selatan Kedah sejak tahun 1974.

Katanya, sebarang kecelakaan yang melibatkan Sungai Muda pasti akan mengakibatkan bencana bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah.

Beliau melahirkan kebimbangan bahawa projek KXP terletak bersebelahan dengan dua bahagian tebing Sungai Muda dengan keseluruhan sepanjang 14 kilometer.

“Lokasi cadangan KXP tidak sesuai kerana ia menimbulkan risiko langsung dan tidak perlu untuk operasi bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, adalah lebih bijak untuk memindahkan projek besar itu ke tempat yang lebih selamat dan jaub dari tebing Sungai Muda.

Memetik laporan EIA itu, Jaseni berkata, kualiti air berpotensi terjejas oleh sisa semasa fasa pembinaan dan operasi seperti timbunan tanah, simen dan pasir adalah sumber pencemaran jika terletak terlalu dekat dengan laluan air.

“Operasi jangka panjang lapangan terbang dan bandar lapangan terbang, aerotropolis, hab aeroangkasa, logistik dan pembuatan (SLAM) dan komponen pembangunan lain dari projek KXP akan mewakili ancaman jangka panjang terhadap kelestarian perkhidmatan bekalan air yang baik di Pulau Pinang dan selatan Kedah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri Pulau Pinang dan PBAPP tidak dirunding atau diminta memberi maklum balas mengenai potensi risiko dan impak negatif dari projek KXP berhubung dengan perkhidmatan bekalan air di negeri itu.

“Ia agak pelik kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah berunding dengan PBAPP mengenai penilaian EIA untuk cadangan kilang kertas teknologi hijau yang terletak di sepanjang tebing Sungai Muda,” katanya.

Jaseni berkata, PBAPP tidak membantah cita-cita Kedah untuk meneruskan projek KXP yang diharapkan dapat membawa pelaburan swasta bernilai RM3.8 bilion dan jumlah ini dijangka dapat memberi suntikan kepada ekonomi tempatan dengan penyediaan pekerjaan dan infrastruktur.

“Bagaimanapun, lapangan terbang ini tidak boleh dibina di lokasi yang meletakkan risiko tinggi kepada perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah ketika ini dan masa hadapan,” katanya. - Bernama