Dos vaksin Covid-19 Moderna tiba di Korea Selatan

Lebih satu juta dos vaksin Covid-19 keluaran Moderna Inc tiba di Korea Selatan pada Isnin selepas berlaku kelewatan ekoran isu pengeluaran yang dihadapi syarikat farmasi AS itu. Gambar hiasan
Lebih satu juta dos vaksin Covid-19 keluaran Moderna Inc tiba di Korea Selatan pada Isnin selepas berlaku kelewatan ekoran isu pengeluaran yang dihadapi syarikat farmasi AS itu. Gambar hiasan
A
A
A

SEOUL - Lebih satu juta dos vaksin Covid-19 keluaran Moderna Inc tiba di Korea Selatan pada Isnin selepas berlaku kelewatan ekoran isu pengeluaran yang dihadapi syarikat farmasi Amerika Syarikat (AS) itu.

Kumpulan pertama vaksin berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan tujuh juta dos vaksin yang dijadual diterima dalam masa dua minggu lagi, lapor Agensi Berita Yonhap.

Moderna sebelum ini memaklumkan kepada Seoul bahawa syarikatnya hanya boleh membekalkan separuh daripada 8.5 juta dos vaksin yang sepatutnya dihantar pada Ogos.

Syarikat itu bagaimanapun membuat penjadualan semula pembekalan selepas Korea Selatan mengemukakan aduan.

Sebanyak 1.01 juta dos vaksin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 1.40 petang, manakala baki enam juta dos lagi akan tiba kemudian, menurut pihak berkuasa kesihatan tanpa memberikan butiran lanjut.

Sehingga Isnin, seramai 25.91 juta, atau 50.5 peratus rakyat Korea Selatan telah menerima suntikan dos pertama manakala 11.56 juta lagi sudah lengkap dua dos.

Kerajaan menyasarkan untuk memvaksin sekurang-kurangnya 70 peratus rakyatnya menjelang September bagi membolehkan imuniti kelompok dicapai pada November. - Bernama

Artikel Berkaitan: