Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SIBU - Lembaga Air Sibu (SWB) tidak dapat mengekstrak air dari Sungai Rejang akibat berlaku pelodakan serius, susulan kejadian himpunan serpihan kayu balak di kawasan hulu Sungai Baleh di Bahagian Kapit semalam.

SWB dalam notis kepada pelanggannya menerusi Facebook memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Salim dan Loji Rawatan Air Bukit Lima beroperasi pada kapasiti minimum, sekali gus memberi kesan terhadap bekalan air ke seluruh kawasan Sibu.

“Kita akan cuba memulihkan bekalan dengan kadar segera. Sebarang kesulitan amat dikesali,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Pada Ahad, Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Baleh, Tan Sri Dr James Masing berkata, himpunan balak tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan hulu Baleh.

Beliau yang berang dengan kejadian itu, mendesak supaya lesen bagi pemilik-pemilik konsensi balak berkenaan tidak diperbaharui bagi mengelak insiden yang sama berulang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew menggesa kerajaan Sarawak untuk menyiasat punca berlakunya himpunan balak tersebut, yang pernah berlaku pada 2010 sehingga menyebabkan ikan-ikan mati akibat kandungan bahan tercemar yang tinggi dan kandungan oksigen yang sangat rendah di dalam air.

“Kesilapan sama berulang lagi hari ini, kami berhak mendapat jawapan daripada kerajaan negeri. Ini adalah isu alam sekitar yang serius, ikan-ikan yang bernilai di Sungai Rejang mungkin hilang jika isu ini tidak diselesaikan dan dibiar berulang lebih kerap,” tegas beliau menerusi satu kenyataan.

Beliau mendesak kerajaan mengeluarkan laporan siasatan secepat mungkin dan langkah-langkah yang telah dilakukan sejak insiden himpunan kayu balak pada 2010 dan faktor berulangnya kejadian ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bekas Presiden Kelab Rotary Sibu, Dr Gregory Hii Sui Cheng meminta pemilik konsensi balak untuk mengamalkan kaedah yang lebih baik agar serpihan balak tidak dihanyutkan ke dalam sungai sehingga menyebabkan hakisan tebing sungai dan pencemaran yang teruk.

“Pencemaran sungai ini telah memberi kesan kepada kita susulan gangguan bekalan sumber air minum,” katanya.

Beliau turut merayu kepada penduduk di tebing sungai dan penghuni kota, supaya mengelak daripada membuang sisa domestik ke dalam sungai yang akan memburukkan lagi masalah kelodak dan pencemaran sungai itu.

“Sungai perlu dijaga dan hargai, oleh itu saya merayu kepada semua supaya peliharalah kebersihan sungai kita dan hentikan mencemarinya,” katanya. - Bernama