Padah fitnah pegawai polis salah guna kuasa

Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin.
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini atas pertuduhan memfitnah seorang pegawai polis melalui laman Facebook pada Mac lalu.

Tertuduh, Phan Sow Sun, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Zaki Abdul Rahman pada Isnin.

Mengikut kertas pertuduhan, Sow Sun didakwa memfitnah Inspektor R Kunes Raw dengan menularkan tiga video dalam pautan Facebook.

Video itu mengandungi tohmahan terhadap Kunes Raw iaitu salah guna kuasa dan tinggal di sebuah rumah kira-kira dua hingga tiga tahun tanpa perjanjian sewa yang akan merosakkan nama pegawai polis berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah unit di Tower B Kondominium BM City di sini kira-kira jam 7 pagi pada 26 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda, atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Sow Sun diikat jamin sebanyak RM2,500 sementara menunggu sebutan semula kes pada 29 September depan.

Artikel Berkaitan: