Malaysia perlukan penyelesaian berasaskan perdagangan: BNM

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA amat memerlukan penyelesaian berasaskan perdagangan untuk mengurangkan kekangan mudah tunai ekoran pandemik Covid-19, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Beliau berkata, pandemik yang menyebabkan permintaan domestik menjadi suram dan tindakan pembendungan ketat dilaksanakan, telah mengakibatkan penyusutan mudah tunai dalam kalangan perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dalam usaha kekal bertahan, sebilangan syarikat terpaksa mengambil jalan terakhir dengan menambah hutang untuk memenuhi obligasi pembayaran masing-masing,” katanya pada pelancaran Laporan Kewangan Perdagangan Islam oleh Bank Dunia secara maya pada Isnin.

Menurutnya, walaupun pelbagai langkah telah diperkenalkan dalam bentuk program bantuan upah, geran sokongan dan penangguhan pembayaran ansuran bagi pinjaman dan pembiayaan untuk mengurangkan beban yang dipikul PKS, namun ia hanya sokongan sementara yang sama seperti penyelesaian sementara.

“Bantuan berterusan dalam bentuk tersebut mungkin tidak mampan. Pergantungan berlebihan kepada instrumen berasaskan hutang juga melemahkan fleksibiliti kewangan bagi perniagaan dalam menyokong pemulihan mereka,” katanya.

Adnan Zaylani berkata, penyelesaian berasaskan perdagangan boleh menawarkan opsyen berdaya maju dengan pendanaan disesuaikan dengan kitar hayat pengeluaran.

Beliau berkata ini membolehkan syarikat memperoleh mudah tunai jangka pendek menerusi penjualan aset semasa seperti yang belum diterima dan inventori kepada institusi kewangan tanpa meningkatkan paras hutang mereka.

Bagaimanapun katanya, penstrukturan penyelesaian ini memberi beberapa risiko baharu kepada institusi kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Berbeza dengan pembiayaan hutang yang mana pembiayanya terdedah kepada risiko melangkaui kredit, seperti inventori dan risiko pasaran, yang memerlukan perlindungan tambahan bagi migitasi risiko, pendekatan berbeza terhadap pengurusan risiko, infrastruktur dan amalan.

“Berikutan sifat pendedahan itu, ia memberi jaminan untuk institusi kewangan Islam (IFI) mengambil pendekatan penerokaan terhadap tawaran baharu berasaskan perdagangan. Ini akan mewujudkan lebih pemahaman mengenai risiko dan dinamik mereka, sekali gus membolehkan IFI menetapkan rangka kerja dan dasar yang sesuai,” jelasnya.

Adnan Zaylani berkata, satu lagi tonggak penting untuk bank pusat dan khususnya kewangan Islam adalah membantu perniagaan mengamalkan kelestarian dan membangunkan daya tahan daripada perubahan iklim, dengan keperluan mendesak terhadap pemulihan inklusif dan lebih hijau merupakan sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Beliau berkata, sebagai negara perdagangan, Malaysia boleh mengalami kerugian bernilai AS$65.3 bilion (AS$1=RM4.23) daripada hasil eksport tahunan seandainya negara tidak melaksanakan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan daya tahan iklim pada 2025.

Katanya, rakan dagang Malaysia telah memulakan usaha untuk menjadikan unjuran ke atas kelestarian sebagai prasyarat untuk urus niaga.

Menurutnya, rakan dagang utama Malaysia seperti China dan Kesatuan Eropah (EU) komited terhadap sifar bersih pelepasan karbon menjelang pertengahan abad ini dan cadangan terbaru EU berhubung Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon akan meningkatkan kos perniagaan untuk mengeksport ke pasaran ini.

“Ini jelas, kelestarian bukan lagi elemen pilihan, tetapi merupakan satu pertimbangan perniagaan yang amat penting demi kelangsungan jangka panjang.

“Sesuatu yang amat menggalakkan apabila menyaksikan sektor kewangan meningkatkan usaha dalam aspek ini, termasuk menerusi tawaran penyelesaian kewangan lestari dan bantuan kepada syarikat untuk usaha peralihan mereka. Institusi kewangan Islam telah menerajuinya dan terus mendahului melalui amalan Perantaraan Berasaskan Nilai,” katanya. - Bernama