Senarai kabinet diumum minggu ini

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

YAN - [DIKEMASKINI] Senarai menteri kabinet kerajaan baharu dijangka diumumkan dalam minggu ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, sehingga kini masih belum ada senarai yang dimuktamadkan dan orang ramai diminta agar tidak mempercayai senarai barisan ahli kabinet yang tular sejak kebelakangan ini.

"Tunggu saya umum dalam minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Masjid Jamek Badlishah selepas meninjau kawasan bencana fenomena kepala air di Merbok dan Titi Hayun pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, beliau akan segera mengadap Seri Paduka Baginda secepat mungkin sejurus senarai kabinet dimuktamadkan.

"Jangan percaya, banyak sekarang keluar senarai menteri kabinet. Setiap hari ada senarai baharu yang tular tetapi semuanya tak betul," katanya.

Ditanya sama ada pemilihan barisan menteri berdasarkan kepada kuota parti atau merit individu, beliau berkata, semua aspek akan dipertimbangkan.

"Saya akan lihat secara keseluruhannya dengan mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.

Mengulas mengenai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM), Ismail Sabri berkata, beliau akan mempertimbangkan semua cadangan nama dari parti-parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

"Saya akan pertimbangkan semua cadangan sebelum saya putuskan siapa menteri dan TPM," katanya.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebelum ini mencadangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua diisi oleh seorang ahli Parlimen Sarawak dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), dengan menamakan Fadillah Yusof yang merupakan menteri kanan dan Menteri Kerja Raya di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata, pelantikan jawatan TPM tertakluk kepada perbincangan antara Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PN menyerahkan sepenuhnya pelantikan jawatan tersebut kepada dua pemimpin berkenaan.