GSA, Aerobay bangunkan hab digital MRO

Nonee Ashirin
Nonee Ashirin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Global Systémes Asia Sdn Bhd (GSA) menjalinkan kerjasama dengan Aerobay bagi membuka ruang pembangunan hab digital pembekalan alat ganti dan perkhidmatan (MRO) pengendalian pesawat serta helikopter di rantau Asia Pasifik.

Pengerusi GSA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi menjelaskan, ia selepas memorandum persefahaman (MoU) antara mereka yang akan mengukuhkan capaian negara dalam pasaran global bernilai AS$750 bilion.

Beliau berkata, usaha sama yang boleh memanfaatkan pasaran pengedaran MRO global bernilai AS$750 bilion ini akan meletakkan GSA sebagai syarikat MRO pertama di rantau Asia Pasifik yang menyediakan platform eDagang (E-Commerce) bagi alat ganti dan lebihan stok.

"Usaha sama GSA dan Aerobay ini akan mewujudkan Aerobay Asia Pacific (AAP), di mana kedua-dua syarikat akan berkolaborasi dalam bidang kepakaran masing-masing dalam sektor perkhidmatan MRO, e-Dagang dan pengedaran alat ganti dalam talian dengan objektif untuk menjadi hab digital terkemuka rantau ini dalam pembekalan alat ganti dan perkhidmatan MRO bagi pengendalian pesawat dan helikopter," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, penyedia perkhidmatan pasaran dan perundingan pasaran global, Acumen Research and Consulting melihat kerjasama itu boleh memanfaatkan sektor pertumbuhan yang pesat.

"Pasaran pengedaran MRO global dijangka tumbuh pada sekitar kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 2.0 peratus dari tahun 2020 hingga 2027 dan pencapaian nilai pasaran ini akan melebihi AS$758.1 bilion menjelang tahun 2027.

"MRO adalah penting agar proses operasi pengeluaran berjalan dengan lancar. Salah satu faktor utama yang mendorong permintaan dan pertumbuhan MRO adalah sektor pembuatan, globalisasi, perindustrian, dan digitalisasi yang semakin meningkat di seluruh dunia terutama sekali negara-negara membangun," katanya.

Nonee Ashirin berkata, pihaknya dan Aerobay akan secara kolaboratif melihat strategi memanfaatkan kepakaran masing-masing bagi memajukan pengedaran dan keupayaan MRO.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia termasuk aspek alat ganti tempatan merangkumi portfolio sivil dan ketenteraan serta kerjasama berterusan dengan pihak kerajaan.

"Kolaboratif ini juga akan dapat membuka ruang aliran pendapatan baharu dan perkhidmatan tambahan serta akan bakal menyaksikan GSA memperkuatkan lagi kedudukan di dalam industri MRO didorong oleh platform e-Dagang yang mantap.

"Rantau Asia Pasifik sedang menyaksikan satu peningkatan dalam penggunaan perkhidmatan profesional melalui platform e-Dagang dan telah dikenali sebagai pusat sehenti dalam pembekalan serta pengedaran alat ganti ke pelbagai negara. Digitalisasi adalah kunci perniagaan masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aerobay, Richard Herve berkata, pihaknya meletakkan fokus ke arah potensi pertumbuhan masa hadapan di pasaran Malaysia dan rantau ini.

"Kami sangat teruja untuk memperkukuhkan lagi kedudukan di rantau Asia-Pasifik melalui hasil usahasama dengan Kumpulan GSA. Kami sedang mengkaji pelbagai kemungkinan dalam penyediaan perkhidmatan (pengedaran alat ganti dan perkhidmatan MRO) melalui pusat sehenti digital ini," jelasnya.