MPN: Peluang pembangkang beri idea pembangunan negara

Noor Hariri Mohamed Nor
Noor Hariri Mohamed Nor
A
A
A

KOTA BHARU - Tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk pembangkang bersama-sama di dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 disokong banyak pihak demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor berkata, perkara tersebut setidak-tidaknya memberi peluang kepada pembangkang untuk menyumbang idea-idea dan cadangan penambahbaikan bagi membaiki kembali ekonomi dan taraf kesihatan negara pasca Covid-19.

"Ini antara perkara yang boleh diterapkan dalam slogan Keluarga Malaysia. Mungkin tidak keterlaluan untuk kami katakan sekiranya seorang dua ahli Parlimen pembangkang juga boleh berada di dalam kabinet.

"Ini bagi memberi maksud dan mesej gencatan politik buat sementara waktu," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Malah katanya, barisan kabinet daripada wajah baharu perlu ditonjolkan bagi memberi keyakinan rakyat kepada Perdana Menteri bahawa beliau bersedia membuat perubahan keseluruhan demi mencapai agenda membantu rakyat.

"Rakyat tentunya memerhati barisan kabinet yang bakal dipersembahkan nanti.

"Kami juga berpendapat seeloknya negara mencapai tahap imuniti kelompok 80 peratus dalam dua bulan lagi kerana Pilihan Raya Umum (PRU) wajar diadakan bagi memberi kembali mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang mereka harapkan untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi dan kehidupan penduduk di Malaysia.

"Rakyat boleh menilai sendiri kerajaan mana yang lebih baik setelah merasai sendiri bagaimana pentadbiran dua kerajaan dalam masa tiga tahun lepas iaitu Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional ataupun Barisan Nasional yang berpengalaman mengemudi negara selama 60 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan: