PKR Pahang tekad teruskan agenda reformasi

Gambar hiasan. - Foto Bernama (Gambar kecil: Fuziah)
Gambar hiasan. - Foto Bernama (Gambar kecil: Fuziah)
A
A
A

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang akan memperkukuhkan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur terhadap rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa terutama ketika berdepan ekonomi tidak menentu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Fuziah Salleh berkata, PKR Pahang akan terus kekal menyokong kepimpinan Presiden parti merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun melalui pelbagai ujian.

"Keteguhan pegangan prinsip dalam menegak agenda reformasi dan kenegaraan beliau jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara ketika ini.

"Kami yakin ciri-ciri itu penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan bersama Ketua wanita Keadilan Pahang, Barirah Mohd Mokhtar; Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Mohd Mustaqim Abd Jalil dan Ketua Serikandi Keadilan Pahang, Ashida Hasuah pada Isnin.

Ahli Parlimen Kuantan itu menyeru semua kepimpinan, anggota parti dan akar umbi terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan presiden dan prinsip yang diperjuangkan.

"Kami turut menggesa pemimpin dan anggota parti untuk terus mengukuhkan parti dan memantapkan penyusunan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengembalikan mandat rakyat yang dimenangi pada PRU14 lalu.

"Sama-sama kita menerus dan melipatgandakan khidmat kepada rakyat yang sangat memerlukan sokongan di samping menyebarluaskan mesej keadilan untuk semua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fuziah memberitahu, PKR Pahang menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'yatuddin Al Mustafa Billah Shah yang telah perkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu.

"Kami menghormati pelantikan itu kerana dibuat menurut lunas Perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta mengambil kira kepentingan rakyat dan negara," katanya.