Dua pegawai imigresen didenda terima rasuah

Muhammad Rushdi (berbaju biru) dan Mohamad Izhmi (berbaju hitam) menutup muka dengan fail ketika diiring SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin.
Muhammad Rushdi (berbaju biru) dan Mohamad Izhmi (berbaju hitam) menutup muka dengan fail ketika diiring SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Perbuatan seorang pegawai Jabatan Imigresen menerima rasuah bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul dua tahun lalu membawa padah apabila didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Rushdi Zainal, 27, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19 mengaku salah bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 10 bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Rushdi yang bertugas di Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) didakwa telah diberikan wang suapan RM1,000 oleh seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bertindak sebagai orang tengah untuk ejen warga asing bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul.

Perbuatan itu telah melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada pihak SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah diberikan wang suapan berjumlah RM2,300 oleh individu sama bagi tujuan sama.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan pada 12 Ogos 2019 dan 20 Julai 2020 di Maybank Islamic Berhad di Nilai.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang lagi pegawai Jabatan Imigresen gred sama, Mohamad Izhmi Mohamad Noor, 35, didenda RM15,000 oleh mahkamah sama atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 daripada seorang lelaki tanpa suatu balasan pada Oktober 2020 di sebuah kedai di Kampung Jijan, Nilai.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Madihah turut memerintahkan hukuman penjara 10 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan bagi kedua-dua tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.