PM tiba di Kedah tinjau kesan fenomena kepala air

Ismail Sabri tiba di Tupah, Merbok pada 12.14 tengah hari bagi meninjau kesan bencana banjir ekoran fenomena kepala air. - Foto Bernama
Ismail Sabri tiba di Tupah, Merbok pada 12.14 tengah hari bagi meninjau kesan bencana banjir ekoran fenomena kepala air. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Kedah bagi meninjau kesan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang menyebabkan banjir di Kuala Muda dan Yan minggu lepas.

Beliau berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor menaiki pesawat khas pada 10 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar kira-kira sejam kemudian.

Sebaik mendarat, Perdana Menteri terus ke lokasi pertamanya iaitu di Tupah, Merbok dan tiba pada 12.15 tengah hari bagi meninjau kesan banjir di kawasan itu, antaranya Jambatan Tupah, Taman Lembah Merbok dan Loji Rawatan Air Tupah.

Ismail Sabri yang diiringi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, disambut beberapa pemimpin masyarakat negeri ini selain penduduk setempat.

Tupah adalah kawasan di daerah Kuala Muda yang terjejas disebabkan banjir yang berlaku ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada Rabu lepas. Kira-kira 200 buah rumah terkesan oleh bencana itu.

Semasa lawatan itu, Ismail Sabri turut beramah mesra dan bertanya khabar mangsa serta meninjau keadaan rumah penduduk dan menyampaikan sumbangan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada mereka.

Sebaik tamat program di Tupah, beliau kemudian ke Titi Hayun, Yan bagi meninjau keadaan sama di sana selain dijangka diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa banjir oleh Muhammad Sanusi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir dukacita tragedi fenomena kepala air

Artikel Berkaitan: