Pencarian nelayan hilang diperluas guna helikopter TUDM

Operasi pencarian Mohd Rafi Omar, 37, yang dipercayai hilang sejak Khamis lalu memasuki hari ketiga.
Operasi pencarian Mohd Rafi Omar, 37, yang dipercayai hilang sejak Khamis lalu memasuki hari ketiga.
A
A
A

KOTA BHARU - Sektor pencarian seorang nelayan yang masih hilang ketika mencandat sotong di perairan Pantai Sabak diperluas kepada 410.28 batu nautika persegi menggunakan bantuan helikopter daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, operasi pencarian Mohd Rafi Omar, 37, yang dipercayai hilang sejak Khamis lalu memasuki hari ketiga.

Katanya, penambahan aset helikopter EC725 TUDM membolehkan sektor pencarian diperluaskan melalui udara.

“Bermula hari pertama sehingga ke hari ini (Isnin), jumlah keluasan pencarian merangkumi keluasan 516.28 batu nautika persegi.

“Sehingga kini, belum ada tanda-tanda penemuan dilaporkan oleh aset yang ditugaskan dan juga sukarelawan nelayan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pencarian selainnya melibatkan empat aset laut iaitu KM Tok Bali Maritim Malaysia, bot PAC 35 Pasukan Polis Marin (PPM), sebuah bot Destiny 32 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sebuah bot aluminium Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Helikopter EC725 TUDM menyertai usaha mencari dan menyelamat nelayan, Mohd Rafi Omar, 37, yang hilang sejak Khamis lalu.
Helikopter EC725 TUDM menyertai usaha mencari dan menyelamat nelayan, Mohd Rafi Omar, 37, yang hilang sejak Khamis lalu.

“Keanggotaan pasukan terdiri daripada Maritim Malaysia, TUDM, PPM, JBPM, APM, dan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) berjumlah 46 orang serta dibantu 35 sukarelawan daripada komuniti nelayan.

Artikel Berkaitan:

“Pencarian mengambil kira pergerakan arus dan angin,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang awam agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“Sebaiknya sentiasa menyemak keadaan cuaca sebelum keluar ke laut.

“Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 atau MRSC Kuantan di talian 09-571 7345,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mohd Rafi Omar, 37, dikhuatiri hilang ketika mencandat sotong pada jarak 18.6 batu nautika daripada Pantai Sabak pada Khamis.