Penganalisis jangka operasi ekonomi lebih terbuka pada Oktober, November

No Image Caption
A
A
A

KETUA Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, operasi ekonomi yang lebih terbuka dijangka berlaku pada Oktober atau November ini apabila negara telah mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata, harapan berkenaan adalah seiring dengan pencapaian program vaksinasi negara yang memberangsangkan.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 55.6 peratus atau 13,022,246 populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat Ahad.

“Berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi dan pada masa yang sama kita dapat melihat program vaksinasi yang berlangsung dengan baik, justeru ada harapan yang tinggi supaya situasi yang kita hadapi pada masa ini dapat diperbaiki,” katanya dalam program ‘Koresponden Bernama’ bertajuk 'Pulihkan Kestabilan Ekonomi Negara' yang disiarkan di Bernama TV pada Isnin.

Sementara itu, beliau berkata, meskipun negara mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua 2021 yang meningkat 16.1 peratus dari tahun ke tahun, data bulanan KDNK pada Jun telah menguncup pada kadar 4.4 peratus.

“Ini jelas menunjukkan, apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya PKP penuh, ia akan memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi.

“Setakat ini, 16.1 peratus itu dikira positif. Namun, kita dapat lihat data bulanan Jun menguncup. Jadi, memang PKP dan Covid-19 masih memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara,” katanya.

Berhubung pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berpendapat peniaga dan pelabur mungkin bersikap ‘tunggu dan lihat’ dalam masa terdekat ini dan menantikan strategi selanjutnya daripada kerajaan untuk mengawal pandemik dan memulihkan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Belanjawan 2022, Mohd Afzanizam menjangka lebih banyak peruntukan akan diberikan untuk membantu rakyat dari sudut perniagaan dan bayaran pindahan kepada golongan rentan.

Menurutnya, kerajaan perlu memulakan perbincangan mengenai strategi untuk memulihkan kembali kedudukan kewangan apabila ekonomi sudah mencapai satu bentuk pemulihan yang mampan.

“Negara tidak boleh kekal dalam keadaan defisit fiskal yang besar kerana ia akan menyebabkan daya saing ekonomi tidak tahan begitu lama.

“Saya berharap akan ada satu signal, sekurang-kurangnya menandakan keseriusan kerajaan untuk memperbaiki kedudukan fiskal mereka buat masa ini,” katanya. - Bernama