330,000 batang rokok seludup ditinggalkan di Pulau Karah

Muhammad Suffi (kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dari kawasan pantai Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong, di Kuala Nerus, pada Sabtu.
Muhammad Suffi (kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dari kawasan pantai Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong, di Kuala Nerus, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengesan sebanyak 330,000 batang rokok seludup ditinggalkan di kawasan pantai Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong, di Kuala Nerus, pada Sabtu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sebanyak 1,650 karton rokok bernilai hampir RM350,000 itu dikesan ketika pemantauan dilakukan sekitar jam 6 petang.

"Sepasukan anggota bot Panggalan 45 dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat berlaku aktiviti mencurigakan di pulau berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa bungkusan plastik lut sinar berisi rokok putih dipercayai ditinggalkan kerana tidak sempat dipindahkan ke bot lain," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu di sini pada Isnin.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya percaya Pulau Karah dijadikan lokasi transit sebelum dibawa masuk untuk dijual ke pasaran tempatan memandangkan lokasi itu tiada penempatan penduduk.

Muhammad Suffi
Muhammad Suffi

Menurutnya, kes melibatkan aktiviti penyeludupan rokok menggunakan jalan air itu pertama kali direkodkan Maritim Terengganu.

"Suspek dipercayai melakukan aktiviti itu menggunakan jalan laut kerana sukar menggunakan jalan darat ekoran penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) dalam tempoh pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak menolak kemungkinan penyeludupan rokok tersebut didalangi warga tempatan dan rokok itu dikilangkan di Vietnam," katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Terengganu akan terus meningkatkan kawalan bagi mengesan sebarang aktiviti salah laku di perairan negara.