Biden ikrar pindahkan warga AS dari Afghanistan secepat mungkin

Biden.- Foto Reuters
Biden.- Foto Reuters
A
A
A

PEMINDAHAN warga Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan akan dipercepatkan minggu ini walaupun berdepan ancaman Taliban.

Bercakap di White House pada Ahad, Presiden Joe Biden berkata, seramai 11,000 telah diterbangkan dari Kabul dalam tempoh 36 jam yang lepas.

Bagaimanapun, Biden tidak memperincikan mengenai perancangan berkenaan.

Jumlah itu termasuk penerbangan bukan ketenteraan Amerika serta pesawat pengangkutan C-17 dan C-130 Tentera Udara Amerika yang terbang setiap hari dari Kabul.

Puluhan ribu masih belum dibawa keluar setakat ini dan proses ini menjadi perlahan disebabkan masalah keselamatan dan halangan birokrasi Amerika.

"Kami melaksanakan rancangan untuk memindahkan kumpulan warga Amerika ini ke tempat selamat. Atas sebab keselamatan, saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci tetapi saya akan mengatakannya sekali, warga Amerika yang ingin pulang, akan dibawa pulang," kata Biden.

Sementara itu, pegawai pentadbiran berkata, tentera Amerika sedang mempertimbangkan "cara kreatif" untuk membawa warganya masuk ke Lapangan Terbang Kabul untuk dibawa keluar dari Afghanistan.

White House memaklumkan, terdapat perbincangan dilakukan di antara Biden dengan Setiausaha Negara Antony Blinken, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin dan anggota pasukan keselamatan negaranya yang lain tentang keadaan di Afghanistan.

Artikel Berkaitan:

Huru-hara di Afghanistan selepas Taliban ambil alih pentadbiran juga akan menjadi topik utama apabila biden dan pemimpin negara G7 bermesyuarat secara maya pada Selasa. -Awani