Sultan Selangor dukacita pergolakan politik negara

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan kesal dengan pergolakan dan pertelagahan politik dalam negara yang amat ketara sejak kebelakangan ini.

Baginda secara peribadi turut menzahirkan ingatan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor untuk tidak hanya berpolitik dan merebut kuasa sehingga melupakan tanggungjawab utama bagi membela nasib rakyat.

Sultan Sharafuddin bertitah, setiap pemimpin politik sepatutnya mengambil tahu tentang masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat di kawasan masing-masing khususnya dalam mengenal pasti mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar dari sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan di dalam masyarakat.

“Tidakkah Ahli-ahli Yang Berhormat sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya,” titah baginda sewaktu Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Negeri Selangor yang Ke-14 Tahun 2021, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut mengingatkan setiap pemimpin politik bahawa rakyat di bawah memerlukan sokongan mereka untuk membantu kesusahan yang sedang dialami berikutan ancaman pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, pihak terlibat juga sewajanya memberi fokus untuk menyemak jumlah rakyat yang telah hilang pekerjaan dan mencari jalan sebaiknya bagi membantu golongan ini.

“Data-data juga perlu diperoleh daripada mereka yang telah kehilangan tempat pergantungan dan berhadapan dengan masalah tekanan hidup agar perkara ini boleh diangkat kepada kerajaan negeri untuk ditentukan bentuk bantuan yang boleh diberikan,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, mandat yang diberi oleh rakyat kepada setiap wakil rakyat merupakan amanah ALLAH SWT yang perlu dilaksanakan dengan jujur, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan.