Kerjasama ditawar PM bukti keterbukaan kerajaan baharu

Kenyataan dimuat naik Najib di Facebook beliau pada Ahad.
Kenyataan dimuat naik Najib di Facebook beliau pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelawaan kerjasama ditawarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada blok pembangkang menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 membuktikan keterbukaan kerajaan baharu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi perkongsian dalam Facebook beliau pada Ahad berkata, pendekatan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri juga disifatkan sebagai inklusif demi membantu negara dan rakyat.

Ahli Parlimen Pekan itu menerusi perkongsiannya sebelum itu turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kesembilan atas ucapan sulung yang didakwanya penuh keikhlasan dan bermakna.

"Pendekatan Keluarga Malaysia dan pelawaan kepada pihak pembangkang untuk menyumbang kepada pemulihan negara membuktikan sifat inklusif dan keterbukaan kerajaan baharu demi negara dan rakyat.

"PM kesembilan juga telah menggariskan keutamaan negara hari ini iaitu pendekatan lebih menyeluruh untuk melawan Covid-19, membantu rakyat dan memulihkan ekonomi.

"Bagi mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu, saya dan seluruh rakyat Malaysia akan membantu merealisasikan impian ini. Kita maju jaya bersama," katanya menerusi kenyataan itu.

Pada Ahad, Ismail Sabri menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menurutnya, tawaran itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan.

Artikel Berkaitan: