Tiada kluster ibadah korban di Johor

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Tosrin Javanthi)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Tosrin Javanthi)
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tiada kluster membabitkan ibadah korban dilaporkan di negeri ini pada Aidiladha lalu sekali gus keadaan itu menunjukkan prosedur operasi standard (SOP) korban yang digariskan mengambil kira situasi pandemik Covid-19 dipatuhi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Javanthi berkata, SOP ibadah korban terbabit dirangka dengan mengambil kira pandangan Jabatan Kesihatan Negeri, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veteriner Negeri seterusnya mendapat perkenaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Ibadah korban pada tahun ini berjaya dilaksanakan dengan 6,037 ekor haiwan ibadah korban telah disembelih di 164 pusat sembelihan yang berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veteriner.

"Proses sembelihan, melapah, memotong dan membungkus daging dilakukan di pusat sembelihan. Jawatankuasa masjid dan surau serta penganjur ibadah korban akan terus mengedar daging yang telah disiap dibungkus kepada mereka yang layak menerima agihan daging korban," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Najib Lep (Pas-Bukit Pasir) berhubung SOP sembelihan korban pada Hari Raya Korban pada sesi soalan lisan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor ke-14 di sini pada Isnin.

Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai memberitahu sebanyak 30 pusat sembelihan telah dilawat bermula 10 hingga 22 Julai lalu.

Katanya, pusat sembelihan yang dilawat itu terletak di Kulai, Gelang Patah, Johor Bahru, Ulu Tiram, Pontian dan Kota Tinggi.

"Bagi memastikan pusat sembelihan patuh SOP korban, Jabatan Agama Islam, Jabatan Perkhidmatan Veteriner dan polis melakukan pemantauan sebelum dan selepas ibadah korban dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Adalah disyorkan penternak ketika wabak ini, tidak hanya menumpukan jualan semasa ibadah korban tetapi perlu kreatif melihat pasaran tempatan yang keperluannya masih tinggi, bahkan terpaksa ditampung dengan bekalan daging import," katanya.