Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, sentimen semakin baik

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT mengukuh berbanding dolar AS pada pagi Isnin dengan sentimen pasaran semakin baik selepas persekitaran politik Malaysia yang lebih pasti telah membantu melonjakkan selera risiko para pelabur.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.2300/2340 berbanding dolar AS daripada 4.2380/2400 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lalu.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohamed Rahim berkata, ringgit dijangka diniagakan antara RM4.23 dan RM4.24 berbanding dolar AS minggu ini dengan pasaran kembali tenang selepas menyaksikan perkembangan baik politik terkini negara.

Bagaimanapun, pergerakan mungkin terhad menjelang persidangan Jackson Hole Rizab Persekutuan AS yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Ogos ini.

“Sekiranya gambaran awal yang telah dijangkakan mengenai pengurangan pembelian aset oleh Persekutuan dibangkitkan dalam simposium itu, dolar AS mungkin mengukuh dan ini akan menjejaskan ringgit,” katanya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu lalu.

Sementara itu, ringgit dibuka bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8497/8536 daripada 3.8654/8676 Jumaat lalu dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7706/7760 daripada 5.7709/7736 sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1073/1107 daripada 3.1070/1087 pada penutupan Jumaat minggu lalu dan menyusut berbanding euro kepada 4.9491/9538 daripada 4.9474/9498 sebelumnya. - Bernama