MP Sabah sambut baik cadangan PM sertai MPN, tangani Covid-19

Madius, Azis
Madius, Azis
A
A
A

KOTA KINABALU - Beberapa ahli Parlimen pembangkang di Sabah menyambut baik tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penyertaan blok parti pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Bagaimanapun, dalam masa sama meminta supaya cadangan yang dikemukakan sebelum ini dipertimbangkan dalam usaha negara menanggani pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau mengalu-alukan pendekatan 'Keluarga Malaysia' dalam memimpin negara tanpa membelakangi mana-mana suku kaum dan agama.

"Saya juga menyambut baik pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri yang mengulangi semula pelawaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjemput parti pembangkang agar sama-sama menyertai dan menjayakan MPN dan juga Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

"Bagaimanapun, saya ingin menyeru agar Majlis Pesekutuan-Negeri (FSC) mengenai pemulihan ekonomi dan kesihatan dapat dipertimbangkan untuk dilaksana berbanding cadangan MPN," katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut berkata, FSC dapat berfungsi seperti ‘war kabinet’ yang membuat keputusan besar mengenai ekonomi dan kesihatan, sementara kabinet sebenar pula berfungsi sebagi menguruskan pelaksanaan terhadap keputusan yang telah diambil selain mengurus isu-isu lain yang dihadapi.

"Pendekatan ini sudah pasti boleh membawa kepada pembentukan dasar yang lebih baik dan menjadi medan perkongsian tanggungjawab politik dalam kalangan parti pembangkang dan kerajaan, khususnya dalam membuat keputusan yang tidak popular tetapi perlu untuk diambil.

"Ia bukan sahaja boleh melindungi parti kerajaan daripada kepincangan, tetapi dalam masa yang sama ia tidak memberi komplikasi terhadap amalan pemerintahan perpaduan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman yang turut menyambut baik ucapan Ismail Sabri menegaskan bahawa pelawaan itu harus jujur dan bukan hanya bersifat 'untuk menyedapkan keadaan'.

''Jangan seperti Perdana Menteri sebelum ini (Muhyiddin) yang menubuhkan jawatakuasa khas darurat tetapi apa yang telah dilakukan?

''Ya sudah pasti saya sambut baik, terutama ucapan beliau yang mengatakan semua ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan' 'Keluarga Malaysia'," katanya.

Ketua pemuda Parti Warisan Sabah (Warisan) itu bagaimanapun turut nasihatkan, kerajaan dipimpin Ismail Sabri tidak mengulangi kesilapan yang dibuat Muhyiddin.

"Semua pihak termasuk pembangkang harus dilibatkan kerana kita sekarang sedang berperang, yang mati itu bukan penyokong Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Warisan, tetapi rakyat Malaysia,'' katanya.