Sila log masuk terlebih dahulu.

Lawatan kerja rasmi pertama Ismail Sabri ke Kuala Muda, Yan hari ini

Ismail Sabri.- Foto Bernama
Ismail Sabri.- Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baharu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada Sabtu lalu dijadual mengadakan lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan, Kedah pada Isnin.

Perdana Menteri kesembilan itu, melawat dua daerah berkenaan bagi meninjau keadaan kawasan terjejas banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada Rabu lalu.

Menurut, atur cara dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat, kerajaan negeri Kedah Darul Aman, Ismail Sabri dijadual berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor menaiki pesawat khas pada jam 10 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim 45 minit kemudian.

Beliau kemudian akan ke Merbok di daerah Kuala Muda bagi melawat kawasan terjejas banjir di kawasan berkenaan, iaitu Jambatan Tupah dan Taman Lembah Merbok sebelum meninjau keadaan Loji Rawatan Air Tupah yang turut terkesan.

Ismail Sabri kemudian akan ke Titi Hayun di Yan dan akan diberikan taklimat oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengenai perkembangan semasa susulan kejadian banjir itu selain meninjau kawasan terjejas di situ.

Ismail Sabri seterusnya dijadual ke majlis penyampaian sumbangan yang diadakan di Masjid Jame' Badlishah, Pekan Yan, dan Perdana Menteri dijangka mengadakan sidang media di lokasi tersebut.

Selepas program berkenaan, Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang.

Setakat ini, lima mangsa disahkan menjadi korban dengan seorang lagi masih hilang dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai, pada petang 18 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Banjir itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda. - Bernama