Kibar 100 Jalur Gemilang bangkit semangat patriotik

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Wan Azizi Wan Ab Ghani (kanan) dan penduduk, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya,56, membetulkan bendera Malaysia untuk digantung pada tiang-tiang elektrik di laluan utama kampung-kampung di Mukim Parit, Pasir Tumboh.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Wan Azizi Wan Ab Ghani (kanan) dan penduduk, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya,56, membetulkan bendera Malaysia untuk digantung pada tiang-tiang elektrik di laluan utama kampung-kampung di Mukim Parit, Pasir Tumboh.
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 100 Jalur Gemilang dikibarkan di laluan utama di lima kampung Mukim Parit, Pasir Tumboh di sini bagi membangkitkan semangat patriotisme dalam menyambut Kemerdekaan ke-64 biarpun negara masih diancam oleh pandemik Covid-19.

Usaha murni yang wajar dicontohi itu terhasil menerusi kerjasama antara 350 ahli Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit diketuai pengerusinya, Wan Azizi Wan Ab Ghani.

Wan Azizi berkata, idea tersebut tercetus apabila menyedari sambutan yang agak ‘lesu’ terhadap Hari Kemerdekaan negara dua tahun berturut-turut kebelakangan ini kerana Covid-19.

Katanya, pandemik tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan rakyat hingga melupakan semangat cinta akan negara terutama dalam menghargai perjuangan pejuang-pejuang terdahulu yang bertanggungjawab membawa negara mencapai kemerdekaan.

“Kita tidak dapat lagi berkumpul, berarak, mengadakan sambutan besar-besaran apatah lagi bersama-sama bersemuka untuk melaungkan ungkapan keramat Merdeka, Merdeka, Merdeka!

“Kita bagaimanapun masih lagi boleh membangkitkan dan menzahirkan semangat patriotik dengan cara mengibarkan panji kemegahan Malaysia iaitu Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Paduka, Mukim Parit, Pasir Tumboh, di sini, pada Ahad.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Wan Azizi Wan Ab Ghani (kiri) dan penduduk, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya,56, menggantungkan Jalur Gemilang supaya berkibar bagi membangkitkan semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan ke-64 pada bulan Ogos ini.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Wan Azizi Wan Ab Ghani (kiri) dan penduduk, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya,56, menggantungkan Jalur Gemilang supaya berkibar bagi membangkitkan semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan ke-64 pada bulan Ogos ini.

Selain Taman Paduka antara lokasi bendera dikibarkan adalah di Desa Wangi, Kampung Kubang Siput, Taman Putra dan Kampung Likong.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejumlah RM 700 dana diperuntukkan oleh Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit bagi membeli bekalan bendera Malaysia dan upah memasang di tiang-tiang elektrik di tepi laluan utama kampung yang terlibat.

“Kami berhasrat untuk menambah jumlah bendera dan mengharapkan sumbangan lebih banyak Jalur Gemilang untuk dikibarkan sepanjang bulan Kemerdekaan sehingga ke sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

“Selainnya, pertubuhan juga mengagihkan bantuan kepada ahli-ahli dan keluarga ahli yang terjejas akibat Covid-19 serta menghantar bekalan makanan kepada pesakit Covid-19 yang kuarantin di rumah di kawasan Pasir Tumboh,” katanya.

Seorang penduduk, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya,56, menyokong langkah mengibarkan bendera di laluan utama ke kawasan perumahan dan kampung-kampung di Pasir Tumboh.

“Usaha ini wajar menjadi contoh kepada semua penduduk di kawasan lain supaya semangat patriotik dapat disemarakkan lagi walaupun berdepan pandemik.

“Saya sendiri gembira dan teruja apabila dapat merasai sendiri kebangkitan semangat kenegaraan apabila melihat Jalur Gemilang berkibar megah di laluan-laluan kampung ini,” katanya.