Tanaman cendawan beri hasil lumayan

Sebahagian cendawan yang diusahakan Mohd Syukor.
Sebahagian cendawan yang diusahakan Mohd Syukor.
A
A
A

ALOR GAJAH - Demi minat dalam bidang pertanian, seorang anak jati Batu Berendam, Melaka sanggup melepaskan kerjayanya sebagai pegawai kewangan di Perbadanan Bioteknologi Melaka untuk menceburi bidang berkenaan.

Usahawan cendawan, Mohd Syukor Ahmad, 42 berkata, keputusan yang dibuat tujuh tahun lalu itu akhirnya berbaloi apabila dapat mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu di atas tanah seluas 1.6 hektar.

Menurut Pengarah Urusan Sinar Syukrawie Enterprise itu, segalanya bermula pada tahun 2009 apabila dia mengusahakan pertanian cendawan secara kecil-kecilan dengan menyewa tanah di Kampung Kandang dengan kadar RM120 sebulan dan kemudian berpindah menyewa di Melaka Pindah dengan kadar RM1,000 sebulan.

Katanya, kerana perniagaan cendawan mudah diusahakan dan tidak memerlukan ruang yang besar, beliau berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa menambah pengetahuan bagi memastikan pertanian diusahakan membuahkan hasil dan dapat dipasarkan.

Tanah seluas 1.6 hektar yang dibina rumah cendawan, bilik seminar dan beberapa fasiliti lain.
Tanah seluas 1.6 hektar yang dibina rumah cendawan, bilik seminar dan beberapa fasiliti lain.

“Berkat kesabaran lebih dua tahun menyewa akhirnya berbaloi selepas saya dipilih sebagai Pemenang Anugerah Jaya Rural Business Challenge (RBC) 2013 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan memperolehi geran bernilai RM750,000.

“Dengan geran itu saya beranikan diri membeli 1.6 hektar tanah di Gadek, Alor Gajah dan membuat keputusan meninggalkan kerjaya di perbadanan itu,” katanya yang memiliki tiga anak berusia tujuh hingga 15 tahun.

Jelasnya, perusahaan cendawan tiram kelabu berpotensi pergi lebih jauh kerana merupakan sayuran organik dan mengambil masa kira-kira sebulan untuk menuai hasil.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, melihat kejayaan demi kejayaan yang ditempah, dia turut menyediakan bilik latihan di kawasan berkenaan selain rumah cendawan bagi memberikan latihan kepada mereka yang berminat menceburi bidang itu dan juga pelajar-pelajar dalam bidang pertanian.

“Bukan sahaja mengusahakan tanaman cendawan, saya juga sering berkongsi ilmu dengan mereka yang meminati tanaman cendawan.

“Malah pernah juga pelajar dari negara China datang ke tempat saya untuk membuat latihan di sini, selain kakitangan agensi kerajaan juga dihantar menimba pengalaman di tempat saya,” katanya.

Mohd Syukor di hadapan pintu masuk tanaman cendawan tiram kelabu di Gadek sejak 2013.
Mohd Syukor di hadapan pintu masuk tanaman cendawan tiram kelabu di Gadek sejak 2013.

PKP perniagaan terkesan

Pandemik Covid-19 yang melanda turut memberi kesan kepadanya apabila permintaan cendawan kelabu sedikit berkurangan berbanding tahun lalu.

Menurutnya, jika sebelum ini secara purata mampu menjual cendawan sebanyak 50 hingga 80 kilogram (kg) sehari, namun kali ini anggaran jualan kira-kira 30kg dengan harga RM12 per kg.

Bagaimanapun katanya, untuk memastikan perniagaan terus berjalan dan mampu memberi keuntungan, dia mengambil langkah drastik dengan mengurangkan kakitangan di ladang dan membuat penghantaran terus jualan kepada pelanggan sekitar Melaka termasuk di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Perniagaan Mohd Syukor turut dibantu anak muda kampung untuk menghasilkan bongkah cendawan menggunakan habuk kayu.
Perniagaan Mohd Syukor turut dibantu anak muda kampung untuk menghasilkan bongkah cendawan menggunakan habuk kayu.

“Jika sebelum ini saya memberikan latihan perusahaan cendawan sama ada di tempat saya atau pergi ke tempat mereka seperti di Universiti Putra Malaysia (UPM), namun disebabkan PKP saya menggunakan platform seperti webinar.

“Dengan mengenakan yuran berpatutan sekurang-kurangnya dapat menampung kos tanaman dan paling penting usahawan perlu kreatif untuk menjana pendapatan sepanjang PKP ini,” katanya.

Mengakui pernah mengalami kerugian lebih RM20,000 disebabkan bongkah cendawan rosak, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan itu dan memberi pengajaran supaya lebih berhati-hati memantau pekerja.

Ujarnya, selain jualan cendawan, syarikatnya juga menghasilkan bongkah cendawan berkualiti berharga RM1.50 hingga RM2.50 mengikut kematangan bongkah itu dan turut dipasarkan di luar Melaka.

Gambar Mohd Syukor sekeluarga pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
Gambar Mohd Syukor sekeluarga pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Katanya, masalah kekurangan habuk kayu getah sepanjang PKP secara tidak langsung turut memberi kesan kepada pendapatan, namun sehingga sekarang masih dapat mengawal dan memastikan pertanian itu terus memberi keuntungan.

“Apa yang saya harapkan impian saya untuk menjadikan tanah pertanian ini sebagai agro pelancongan yang turut dilengkapi bilik pameran pelbagai jenis cendawan di Malaysia dan kemudahan chalet tercapai suatu hari nanti,” katanya.